LAHAD DATU – Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Kuala Lumpur tidak
akan menimbang sebarang permintaan gencatan senjata selagi kumpulan
penceroboh militan tidak meletak senjata tanpa syarat.
Najib, yang melawat Sabah selepas tiga hari pasukan keselamatan
melancarkan serangan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad
Datu, berkata presiden Filipina Benigno Aquino III telah menghubungi
beliau untuk mendapatkan reaksi Malaysia berhubung kenyataan Jamalul
Kiram III mengenai gencatan senjata.
“Saya bagi tahu Presiden Aquino bahawa mereka perlu letak
senjata tanpa syarat dan senjata itu perlu diserah kepada kita,” katanya
pada sidang akhbar di Felda Sahabat 16, di Lahad Datu hari ini.
Laporan media dari Filipina hari ini memetik Kiram meminta pihaknya
meletak senjata di Lahad Datu selepas beberapa anggota kumpulannya
terbunuh dalam gerakan ofensif pasukan keselamatan Malaysia pada Selasa.
Terdahulu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban
Ki-moon menyeru agar ”keganasan” di Sabah, dihentikan dan mencadangkan
agar pihak terlibat mencari penyelesaian secara aman terhadap apa yang
berlaku.
Najib berkata kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan Sabah.
Pada Selasa, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara
menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah
menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Feb dan pasukan
keselamatan kini meneruskan operasi dengan tindakan susulan dan
penggeledahan.
Perdana menteri berkata operasi bagi memburu kumpulan penceroboh militan itu akan diteruskan sehingga mereka meletak senjata.
Beliau berkata Malaysia menghormati prinsip kemanusiaan dan
memberi cukup masa untuk berunding dengan kumpulan penceroboh militan
sebelum melancarkan gerakan ofensif.
“Kita beri tempoh lebih tiga minggu (untuk rundingan) dan
tangguh (serangan) empat kali, kita hanya bertindak bila mereka bunuh
lapan anggota polis kita,” katanya.
Najib yang melahirkan rasa puas hati dengan keberhasilan
operasi bersama yang dilancarkan oleh polis dan tentera itu, berkata
pasukan keselamatan negara mencapai banyak kejayaan untuk menumpaskan
kumpulan penceroboh militan yang memasuki negara ini 12 Feb 2013.
“Kerjasama yang sangat erat antara polis dan tentera dengan
menggunakan kepakaran dan kekuatan masing-masing dalam satu operasi
bersepadu adalah satu modul yang sangat baik untuk kita ambil
langkah-langkah banteras dan tindakan tegas terhadap kumpulan itu,”
katanya.
Perdana menteri juga melahirkan penghargaan kerajaan terhadap kerjasama polis dan tentera dalam menjayakan operasi itu.
Najib turut menegaskan jangan sesiapa cuba memandang ringan iltizam
kerajaan menegakkan prinsip bahawa Sabah adalah sebahagian dari Malaysia
buat selama-lamanya.
“Ini tidak boleh dipersoal sesiapa baik dari dalam atau luar negara.
Kita akan pertahan prinsip, hakikat dan kebenaran secara mutlat dengan
sepenuh kekuatan yang kita ada,” katanya.
– BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan