Translate

Bantu

Sila Ketik sini untuk bantu Blog ini

Ahad, 31 Mac 2013

Mengapa Najib Tak Bubar Parlimen Hari Ini?

Ketersasulan juruhebah perempuan Radio Klasik Nasional kira-kira jam 3:55 minit petang tadi untuk membawa para pendengar ke Putrajaya bagi mengikuti pengumuman pembubaran parlimen oleh perdana menteri Najib Razak tetapi tidak jadi, menjadi tanda tanya ramai.

Juruhebah berkenaan selepas membuat pengumuman itu terus meralat semula kononnya siaran langsung itu tidak dapat diadakan kemudian pengumuman itu ditenggelami dengan muzik. Beberapa minit selepas itu juruhebah itu terus diam dan soal pembubaran parlimen menjadi sepi.

Persoalan timbul kenapa juruhebah berkenaan membuat pengumuman dan seolah-olah bersedia untuk berhubung dengan rakan setugasnya di Putrajaya bagi melaporkan pembubaran parlimen yang memang dinanti-nantikan rakyat? Apakah dia sengaja pandai-pandai atau satu gurauan? Gurau beruk?

Kebiasaanya apa-apa yang diucapkan oleh juruhebah ia adalah atas arahan penerbit. Bukan sembarangan kata-kata atau pengucapan apa lagi perkara sepenting itu boleh dilapazkan oleh seseorang juruhebah.

Apakah petang tadi sememangnya Najib hendak mengumumkan pembubaran parlimen? Sejak kelmarin lagi terdengar desas desus Najib akan mengumumkan pembubaran parlimen hari ini. Katanya satu solat hajat meminta proses pembubaran itu berjalan lancar telah diadakan malam tadi.

Kemungkinan itu menjadi lebih serius lagi kerana hari ini Najib mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Barisan Nasional dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri di peringkat akhir. Perjumpaan itu mengenai pembahagian kerusi justeru ia dianggap perjumpaan terakhir dan pengumuman pembubaran parlimen dilakukan selepas perjumpaan itu?

Khabarnya pejabat perdana meteri di Putrajaya petang tadi dihadiri oleh ratusan wartawan dari dalam dan luar negeri untuk menanti kenyataan pembubaran parlimen oleh Najib. Bagaimana pun mereka semuanya pulang dengan kecewa kerana apa dinanti-nantikan tidak menjadi kenyataan. Setengah siap sedia untuk membuat siaran langsung termasuklah RTM, TV3 dan segala macamnya.

Dalam pada itu ada maklumat mengatakan memang Najib berhajat untuk membuat pengumuman pembubaran parlimen pada petang tadi. Katanya Najib sendiri memilih petang Jumaat untuk berbuat demikian. Namun kata sumber itu disebabkan ada beberapa perkara yang belum beres menyebabkan hasrat itu dibatalkan.

Apakah semasa mesyuarat tadi berlaku pertikaian atau pun ada pihak yang belum bersedia kalau parlimen dibubar hari ini? Perkara ini tidak dapat disahkan tetapi katanya ada beberapa pemimpin yang mahu Najib lanjutkan tempoh dan berharap parlimen biarlah terbubar dengan sendiri. Alasan lain kenapa parlimen tidak dibubarkan hari ini khabarnya soal pembahagian kerusi di antara komponen BN masih belum selesai.

MCA adalah parti yang lantang menuntut kerusi dan memberi kata dua kepada Najib. Parti itu tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi di mana kuota yang diperuntukkan kepadanya selama ini ditarik balik. Khabarnya ada suara ugutan dari MCA akan memulaukan pilihan raya sekiranya soal pembahagian kerusi tidak lengsai?

Alasan lain diberikan kepada Najib, elok Najib membubar parlimen selepas 4 April di mana genap empat tahun beliau menjadi perdana menteri setelah mengambil alih dari Abdullah Ahmad Badawi. Kalau Najib mengumumkan pembubaran parlimen hari ini, ia bermakna Najib menjadi PM tidak sampai empat tahun. Tempoh perkhidmatannya baru tiga tahun tiga suku. Mereka tidak mahu Najib digelar sebagai PM tiga tahun tiga suku.

Dalam pada itu diramalkan besar kemungkinan Najib akan mengumumkan pembubaran parlimen paling lewat 16 April ini. Beliau akan berusaha juga untuk mengelakkan parlimen terbubar dengan sendiri untuk menjaga reputasinya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan