Translate

Bantu

Sila Ketik sini untuk bantu Blog ini

Sabtu, 9 Mac 2013

Rekrut pengganas

Sebahagian daripada 79 orang yang ditahan sejak 11 Februari lalu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan di Lahad Datu dipercayai pengganas Sulu yang menyusup masuk dalam komuniti Suluk di pantai timur Sabah sebelum merekrut penduduk tempatan keturunan mereka.
Selepas direkrut, penduduk tempatan terbabit diberi senjata api untuk menentang pasukan keselamatan. Sebelum ini, seorang lelaki bersenjata yang mati dibelasah sekumpulan 20 penduduk ketika menawan penduduk Kampung Senallang Lama, Semporna, tujuh kilometer dari Kampung Sri Jaya, Simunul, Sabtu lalu, adalah penduduk tempatan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Filipina.

Lelaki berusia 60-an itu datang membawa raifal M16 serta pelancar grenad dikenali penduduk tempatan kerana tinggal di kawasan sama. Malah, lelaki terbabit mendakwa membunuh enam anggota pasukan keselamatan di Kampung Sri Jaya sebelum melarikan diri ke kampung itu dan menawan penduduknya.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, lebih 50 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan militan Filipina ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) menjadikan 79 orang, termasuk wanita ditahan sejak 11 Februari lalu hingga semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, semua yang disyaki itu kini masih dalam tahanan untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan di mana pengganas terbabit ditahan sebaliknya menyatakan di perairan timur Sabah.
Difahamkan antara lokasi mereka ditahan ialah Kunak, Semporna, Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain di sini, petang semalam, Ismail berkata, mereka ditahan di beberapa tempat di Sabah, tetapi di luar kawasan Op Daulat.
Gerakan Op Daulat masuk hari keempat semalam, dengan helikopter diguna untuk menghantar anggota keselamatan ke lokasi sekitar bagi operasi menggeledah manakala jet pejuang berlegar di udara membuat tinjauan.

Ismail berkata, polis kini mendapatkan maklumat daripada mereka yang ditahan berkaitan pihak penceroboh militan bagi membolehkan pasukan keselamatan mencapai objektif operasi.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran tangkapan itu secara terperinci kerana khuatir menjejaskan siasatan.

“Apapun, tangkapan itu perlu dan mesti dilaksana kerana ada tanda-tanda kaitan suspek dengan penceroboh,” katanya.

Sementara itu, Zulkifeli berkata, sehingga jam 5 petang semalam, pihaknya masih menunggu Wisma Putra berkaitan perkembangan kumpulan penceroboh akan menyerah diri dan meletak senjata tanpa syarat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan