Translate

Bantu

Sila Ketik sini untuk bantu Blog ini

Selasa, 6 Mac 2012

Lajulah sikit...

Miliki 75,000 pengunjung sebulan

Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my

MEMILIKI hobi sama tetapi topik berbeza. Wadah yang mempunyai cara penyampaian menarik dan kreatif untuk tatapan pembaca membuatkan nama empat wanita ini disenaraikan dalam calon penerima Anugerah Blog Asia Pasifik anjuran Nuffnang, baru-baru ini.

Biarpun tidak memenangi sebarang anugerah, tetapi mereka mempunyai peminat tersendiri menerusi laman blog yang ditubuhkan dan menjadi popular dalam kalangan pembaca maya walaupun bukan daripada golongan artis terkenal.

Chee Ching, Joyce Wong Jing Yen, Suanie Tew dan Intan Suhana Juhari, semuanya mempunyai idea kreatif dan pelbagai cerita menarik menerusi pengalaman yang ditimba untuk dikongsi bersama pembaca serta peminat menerusi laman blog masing-masing.

Penulis blog termuda di kalangan mereka, Chee Ching yang berusia 23 tahun mempunyai alasan untuk berkongsi segala pengalaman dengan peminatnya.


Diari maya itu yang ditubuhkan sejak 2005 cuba dihidupkan dengan kehadiran karakter kartun bagi mewakili dirinya untuk berkongsi kisah sepanjang hari yang berlaku dalam hidupnya.


Kerjayanya sebagai pereka dalam industri pengiklanan dan banyak melayari Internet secara tidak langsung mencetuskan idea kepada Chee Ching untuk memiliki diari di alam siber.

Mempunyai perasaan ingin tahu yang mendalam terhadap perkara baru akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya membuka laman blog sendiri yang mendapat perhatian daripada pembaca.

“Saya menjadikannya sebagai medium untuk menulis mengenai perasaan yang tersirat dalam hati ketika itu memandangkan ia sebenarnya agak mudah untuk dikawal selia.

“Setakat ini saya mempunyai pengikut atau peminat seramai 300 hingga 400 orang dan sangat bersyukur kerana memiliki pembaca sendiri.

“Bermula dengan hobi yang kini turut dijadikan sebagai portfolio diri, kombinasi yang disatukan antara hobi dan minat berjaya dilakukan pada masa sama,” kata gadis berasal dari Ipoh yang gemar menonton drama serta rancangan animasi.

Tambah Chee Ching lagi, membuka laman blog tidak hanya bersandar pada minat dan hobi saja malah dia menjadikannya sebagai tempat melatih diri untuk memantapkan kemahiran dimiliki.

Selain berkongsi minat dan hasil kerjanya, Chee Ching turut muat naik lagu-lagu Korea serta perkara yang menarik dalam hidupnya seperti melukis yang sering dilakukannya.

Menerusi blog, gadis muda ini turut memulakan projek yang dipanggil 365 Art, idea tercetus berdasarkan misi untuk menjadikan dokumen yang dikumpul seterusnya dilakar menjadi seni kreatif.

Dia bercadang untuk mengabadikan ciptaannya itu dalam bentuk buku atau kalendar apabila projeknya itu siap sepenuhnya kelak.

Chee Ching berkata dia sangat menghargai setiap komen daripada peminatnya kerana menganggap ia mempunyai makna yang positif dalam memantapkan laman blognya - http://cheechingy.com.

Sementara itu, menurut pemilik laman blog www.KinkyBlueFairy.net, Joyce Wong Jing Yen, dia menceburkan diri dalam dunia penulisan di alam maya pada 2004.

Menurutnya lagi, sejak berusia 10 tahun lagi dia sudah memiliki diari dan menganggap menulis di blog sebagai platform baru untuk meneruskan hobinya itu.

Hobi yang mendalam ditambah gemar mengedit gambar dan penulisan pada masa lapang membuatkan Jing Yen meneruskan minat untuk menulis apatah lagi jika membabitkan aktiviti yang dijalankan.

Berusia 28 tahun, Jing Yen menjelaskan konsep laman blog miliknya itu lebih menekankan gaya hidup kerana ia ditulis berdasarkan aktiviti yang dilakukan oleh gadis bandar dan bagaimana mereka menghabiskan duit.

“Ini kerana saya banyak merasai kehidupan sebenar sebagai manusia yang bergerak aktif melakukan pelbagai aktiviti. Kerja, melancong, terbabit dalam produksi filem, menguruskan majlis dan parti - semuanya sudah saya lalui.

“Saya rasa sungguh bertuah kerana dapat merasai kesemua pengalaman ini membuatkan saya cuba mencari medium terbaik untuk menyimpan kenangan itu dan pada masa sama dapat berkongsi dengan orang lain.

“Saya tidak sangka ramai yang gemar membaca penulisan mengenai pengalaman peribadi saya. Pengunjung laman web saya mencecah sehingga 75,000 setiap bulan dengan 25,000 peminat.

“Semua ini saya lakukan sebagai hobi dan mungkin satu hari nanti akan menjadi pekerjaan sepenuh masa saya. Ini kerana saya pernah menjadikannya sebagai kerja sepenuh masa selama dua tahun sebelum mencari alternatif lain mempelajari kemahiran berbeza disebabkan mudah jemu dengan perkara sama.

“Di samping itu, sesiapa saja boleh memberikan idea atau menceritakan kisah mereka di blog saya yang banyak menulis kenangan ketika melancong, muzik, fesyen, parti dan makan,” katanya yang menulis untuk keseronokan bukan menjana pendapatan.

Tambah Jing Yen, dia pernah dijadikan sumber inspirasi peminatnya apabila menerima emel yang menyatakan kisahnya banyak membantu memperbaiki kehidupan mereka supaya menjadi lebih sempurna, baik dan ceria.

Tidak memikirkan dirinya berbeza dengan orang lain, namun dia menganggap kata-kata pujian yang diberikan sebagai satu penghargaan buat dirinya.

Suanie Tew yang berasal dari Batu Pahat, Johor pula mempunyai kisah tersendiri untuk dikongsi bersama pembaca hasil tulisannya.

Bekerja sebagai penulis iklan, Tew mula menceburkan diri dalam dunia penulisan di Internet sejak 1999 yang ketika itu memiliki laman web yang dikemas kini sama seperti laman blog dan pada 2000 ia bertukar format seperti sekarang.

Dia belajar cara menghasilkan laman blog kreatif dan mengikut keinginannya daripada rakan yang mahir dalam bidang berkenaan.

Hobi yang diminatinya itu diteruskan sehingga kini. Disebabkan penulisannya yang bersifat tidak formal, Tew berasa tekanannya seolah-olah terbang apabila dapat berkongsi pengalamannya bersama pembaca.

“Memulakan penulisan blog sebagai hobi dan penting untuk saya mengekalkan matlamatnya. Namun, selepas menyertai Nuffnang, ia sedikit sebanyak memberikan sedikit duit poket pada diri.

“Laman blog yang saya buka lebih banyak bersifat individualistik. Melalui www.suanie.net, saya mendapat banyak manfaat seperti menjadi sebahagian ahli kumpulan amal tempatan, Twestival.

“Saya tidak mempunyai banyak masa untuk mengemaskini laman blog kerana banyak masa dihabiskan bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Namun apabila menerima tindak balas positif daripada pembaca yang gembira membaca kisah saya, timbul pula keinginan untuk menulis dengan lebih serius lagi,” katanya yang turut mempunyai laman web khas untuk penyanyi terkenal, Micheal Jackson kerana meminatinya.

Berbeza pemilik nama panggilan Sue Anna Joe yang tampak manis bertudung ini, pengalamannya dalam dunia fotografi dikongsi bersama pembacanya lantaran terlalu meminati bidang membabitkan lensa kamera.

Pernah membuka studio sendiri di Kelana Jaya namun ia terpaksa ditutup kerana perlu memberikan lebih fokus terhadap pembelajaran dan keluarga ketika itu.

Berusia 29 tahun, wanita manis dengan nama sebenar, Intan Suhana Juhari ini berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Dia mula menulis jurnal dalam Bahasa Inggeris menerusi laman komuniti seni digelar DeviantART.

Selepas itu, dia mengorak langkah sendiri dengan menggunakan platform penulisan blog apabila mendapat inspirasi ketika bekerja di KL Motion Picture.

“Ketika itu saya banyak menulis skrip. Tertarik dengan penulisan dan olahan ceritanya, saya cuba untuk mula menulis blog dalam Bahasa Malaysia pula.

“Kemudian, blog saya mula berkembang dan menambahkan laman blog lain yang berkaitan dengan minat dalam dunia fotografi.

“Saya belajar sendiri cara membuat laman blog dan berjaya membukanya pada 2003.
Namun saya hanya mula pada 2006 untuk berkongsi pengalaman ketika mengambil gambar, panduan dan hasilnya.

“Banyak yang boleh diceritakan melalui fotografi. Kadang kala perkara yang sukar diceritakan dengan perkataan boleh disampaikan dengan mudah melalui gambar,” katanya yang mempunyai minat mendalam dalam dunia fotografi.

Tambahnya lagi, laman blog miliknya banyak memaparkan aspek peribadi dan unik kerana kebiasaannya cara penyampaian serta gambar yang dikongsi bermain dengan emosi.

Unik dengan panggilan Sue Anna Joe, penulisan blog yang dilakukan diterjemahkan sebagai hobi sepenuh masa dan digabung bersama minatnya pada fotografi.

Jika pada mulanya, dia membuka laman blog, sueannajoe.blogspot.com hanya sekadar hobi semata-mata tetapi kini menjadi tempat menjana pendapatan.

Selain itu, Sue Anna Joe turut berkongsi cerita mengenai fesyen, kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu, pengalamannya, tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi, lokasi menjamu selera, ulasan filem serta produk di laman blog khasnya yang lain.

Balai polis kena serang, polis minta penduduk bertenang

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang meminta penduduk di sekitar Teluk Bahang bertenang dan memberi masa kepada pihak polis menyelesaikan siasatan kes serangan balai polis di situ oleh kira-kira 100 orang kampung yang kurang senang dengan sikap seorang anggota polis ketika menjalankan tugas membanteras mat rempit.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata anggota polis yang berpangkat lans koperal itu sudah ditukarkan ke unit lain dan siasatan terhadapnya masih dijalankan.

"Polis memandang serius perkara ini. Kita tidak berniat untuk menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan awam... sesiapa yang didapati bersalah pasti dikenakan tindakan undang-undang.

"Justeru, kita minta pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil memberi kenyataan untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau berkata sehingga kini empat laporan polis dibuat berhubung kes itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam Sabtu, anggota polis itu didakwa membaling topi keledar ke arah sekumpulan mat rempit yang sedang menunggang motosikal sehingga menyebabkan lima daripada mereka terjatuh.

Dua daripada mereka yang parah dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Akibat insiden itu, kira-kira 100 penduduk di kampung terbabit berang dan membaling batu dan kayu ke arah balai polis kira-kira pukul 6.30 semalam.

Mereka bersurai empat jam kemudian setelah rundingan antara pegawai polis dan wakil penduduk berhasil. - BERNAMA

‘Brek rosak...brek rosak!’

CEMAS...sebahagian pelancong warga India diberi rawatan kecemasan selepas terbabit kemalangan, semalam.

Oleh Zaitie Satibi dan Na’imah Mohamed
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Brek rosak...brek rosak.” Itu antara jeritan seseorang kepada 22 penumpang bas persiaran sebelum kenderaan disewa pelancong dari India itu terbabas dan terbalik hingga mengorbankan dua nyawa di Genting Highlands, semalam.

Kemalangan berlaku jam 7.55 pagi di Kilometer 4.5, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur ketika bas berkenaan dalam perjalanan turun dari pusat peranginan terbabit.

Seorang penumpang, Jaswinder Singh, 35, berkata, selepas terdengar jeritan itu, bas yang mereka naiki bergoyang dengan kuat dan tidak stabil.

“Ketika menuruni laluan berbukit, tiba-tiba saya dengar orang menjerit mengatakan brek bas rosak. Dia menjerit dua kali sebelum bas bergoyang dengan kuat.

“Saya berpaut pada tempat duduk kerana bimbang terjatuh sebelum terdengar dentuman kuat dan berasa bas semakin senget sebelum terus terbalik,” katanya di wad kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

Menurutnya, selepas gagal dikawal, bas berkenaan melanggar tembok penghadang jalan sebelum terbalik di laluan berselekoh.

Dua penumpang yang terbunuh ialah Anita Aggarwal, 59, yang mati di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala Rajendra Kumar Agarual, 67, meninggal dunia sejurus tiba di HKL.

Dua puluh penumpang lain cedera termasuk empat parah yang dirawat di Hospital Selayang dan HKL. Dua pemandu bas itu turut cedera. Jaswinder yang cedera di dahi dan patah tangan kanan berkata, selepas bas mereka terbalik, suasana hiruk-pikuk dengan jeritan mangsa sebelum dia dia ditimpa tubuh isteri dan anaknya.

“Saya hanya memikirkan keselamatan isteri dan anak kerana tidak tahu keadaan mereka. Saya dapati darah keluar dari dahi saya yang luka dan tangan kanan pula terasa amat sakit.

“Mujurlah, pasukan penyelamat cepat tiba dan mengeluarkan kami dari bas dan menghantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurut Jaswinder, dia bercuti ke negara ini bersama isteri, Gurmit Kaur, 35, dan anak lelakinya, Manpreet Singh, dua tahun setengah, selepas tertarik dengan pakej pelancongan yang menawarkan dua lokasi percutian di negara ini dan Singapura.

“Saya membayar RM4,860 untuk pakej tiga orang yang menawarkan percutian ke Genting Highlands dan Singapura selama sembilan hari mulai 29 Februari lalu.

“Ketika kemalangan, kami dalam perjalanan ke Singapura selepas lima malam menginap di pusat peranginan itu sebelum kembali ke India Khamis ini,” katanya yang berasal dari Lucknow, Uttar Pradesh di India.

Jaswinder yang juga peniaga dan mengusahakan kedai menjual buku sekolah, berkata ketika kemalangan dia sedang berbual dengan pelancong lain, manakala isterinya yang duduk di sebelah melayan anak mereka.

Fasha, Jejai terbayang pelamin

Oleh Murshid Eunos
murshid@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah saya terima lamarannya dan dia sudah bertemu keluarga saya untuk merisik,” kata pelakon popular, Fasha Sandha kepada Harian Metro, semalam, sekali gus mengesahkan perhubungan kontroversinya dengan kekasihnya, Jejai bakal berakhir di jenjang pelamin tidak lama lagi.

Pelakon berusia 28 tahun kelahiran Johor Bahru itu berkata demikian mengulas pelbagai desas-desus terbaru mengenai persiapan perkahwinannya termasuk gambar mereka menghadiri kursus kahwin di Setiawangsa minggu lalu yang mula tersebar di Internet.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang dan diberikan rezeki, kami berkahwin dalam tahun ini,” kata Fasha mengenai status terkini hubungannya dengan Jejai atau nama sebenarnya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli.

Selain gambar pasangan itu mengikuti kursus persediaan perkahwinan, turut tersebar di Internet dan disiarkan di portal hiburan ialah gambar mereka mencuba busana pengantin di sebuah butik.

Mengulas perkara itu, Fasha berkata: “Memang saya dan Jejai menghadiri kursus kahwin minggu lalu. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan ia satu pengalaman yang baru buat saya.

“Saya akur dengan gambar yang tersebar kerana status sebagai selebriti membuatkan saya tidak boleh lari. Namun, perkara baik seperti ini tiada apa yang perlu disembunyikan lagi.”

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lanjut mengenai tarikh dan lokasi perkahwinan, Fasha enggan memberitahu kerana belum bersedia dan menanti waktu sesuai untuk diumumkan.

Jimmy mengaku tampar isteri

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my

SHAH ALAM: “Kami sudah ada masalah daripada hari pertama perkahwinan,” kata pengacara Jimmy Shanley ketika memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Jimmy berkata perkahwinan dengan isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy adalah atas dasar suka sama suka dan ia permintaan ibu mentuanya selepas dia dan isteri berkenalan enam bulan sebelum diijab kabul.

Bagaimanapun, dalam keterangannya semalam Jimmy mengakui dirinya sering diabaikan Nursuhaila selaku defendan dalam kes yang lebih banyak meluangkan masa bersama rakan-rakan berbanding suami.

Menurutnya, dia pernah menampar Nursuhaila dua kali iaitu pada hari ketiga perkahwinan mereka dan kali kedua pada 19 Oktober 2010 ketika mereka berbulan madu di Koh Samui, Thailand.


Jimmy berkata mengikut perancangan awal mereka dijadualkan berbulan madu empat hari iaitu dari 18 hingga 21 Oktober 2010, bagaimanapun pada hari ketiga di sana, Nursuhaila pergi ke Bangkok, Thailand tanpa izinnya.

Pakar: Kajian arkeologi buktikan Hang Tuah wujud

Seorang pakar arkeologi hari ini mempertahankan kewujudan Hang Tuah berdasarkan bukti arkeologi.

"Saya percaya tokoh ini wujud. Nama Hang memang sudah wujud di alam Melayu. Panggilan Hang ada di Padang Lawas Sumatera, Indonesia.

"Tetapi nama yang empat orang lagi itu (Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu) mungkin boleh dikaji lagi," kata Yang Dipertua Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman.

Beliau berkata meskipun tiada kajian khusus dijalankan, namun kajian arkeologi membuktikan terdapat beberapa penemuan daripada tinggalan seramik atau tembikar yang menunjukkan kesan pada abad ke-15.

"Kajian khusus tidak ada, tetapi kalau makam, ia ada walaupun nama tidak tertulis padanya," katanya kepada pemberita di ibunegara Jumaat.

Beliau diminta mengulas mengenai pendapat ahli sejarah Prof Tan Sri Khoo Kay Kim bahawa Hang Tuah tidak wujud dan lebih merupakan tokoh mistik.

Beliau berkata tiada bukti dan rekod tentang kewujudan Hang Tuah begitu juga dengan Puteri Hang Li Po dari China yang dikatakan telah berkahwin dengan Sultan Melaka di abad ke-15.

- Bernama

Sasterawan: Kitab bukti kewujudan Hang Tuah

Sasterawan Negara Dr Muhammad Salleh berkata nama Hang Tuah diulang banyak kali dalam dua dokumen penting – Tuhfat al-Nafis dan Sulalatus Salatin – yang membuktikan kewujudan watak tersebut dalam sejarah.

Bagaimanapun, bahan berkenaan tidak dibaca oleh kebanyakan orang yang lebih banyak melihat gambaran watak tersebut melalui media popular seperti filem dan juga novel epik Hikayat Hang Tuah.

Menurutnya lagi, nama Hang Tuah disebut sebanyak 128 kali dan sehingga tujuh bab dalam kitab Sulalatus Salatin edisi A Samad Ahmad.

"Saya rasa kalau bukan penting dan jika dia legenda seperti Banderang atau Badang, mungkin dalam satu bab sahaja kemudian hilang," katanya lagi dalam forum berkenaan.

Sesetengah pihak pada masa ini hanya menonton filem Hang Tuah dan menyimpulkan kewujudannya melalui watak yang muncul dalam filem berkenaan.

"Kemudian dicampur lagi dengan Hikayat Hang Tuah yang dibaca bercebis-cebis," katanya dalam forum Hang Tuah di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur hari ini.

Selain kitab berkenaan, satu kitab yang ditulis oleh seorang penulis bernama Hang Kulh (dieja dalam tulisan Jawi dengan huruf qaf-wau-lam-ha) yang didakwa sebagai sepupu Hang Tuah turut dijumpai, kata sasterawan itu lagi.

Namun, keadaan manuskrip yang daif dan juga naratif yang tidak lengkap dalam dokumen berkenaan tidak melayakkannya untuk dimasukkan ke dalam Daftar Ingatan Dunia (Memory of the World Register), katanya lagi.

Berdasarkan bukti melalui bahan bertarikh 1658 itu, Muhammad berkata "pada saya, berat kepada kenyataan bahawa (Hang Tuah) wujud."

Muhammad turut menyampaikan penghargaannya kepada seorang lagi ahli panel – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim – yang bertanggungjawab menimbulkan kontroversi awal tahun ini apabila beliau mempertikai kewujuan Hang.

Katanya, kenyataan seperti itu mendorong minat orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut dan memungkinkan kajian lebih mendalam diadakan ke atas perkara itu.

Khoo ketika menyampaikan rumusannya di forum itu berkata, perkara sejarah seperti itu masih memerlukan bukti empiris untuk disahkan sebagai satu perkara sejarah.

"Kalau ada bukti, biar kita semua bincang. Bila dah diuji dan diterima oleh ahli sejarah, barulah kita boleh guna bahan itu," katanya.

Tambahnya lagi, perkara itu juga harus diuji oleh golongan yang dianggap mempunyai kepakaran dalam bidang sejarah.

"Kalau agak-agak saja tidak boleh," tegasnya.

Turut berucap dalam forum berkenaan ialah naib canselor Kolej Universiti Islam Melaka, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusoff Hashim dan juga pengkaji sastera bandingan Dr Lalita Sinha.

Nik Aziz nasihat Hasan Ali 'jaga mulut'


Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali yang dipecat sebagai anggota parti baru-baru ini supaya "jaga mulut" daripada terus mengkritik dasar-dasar parti Islam itu.

NONEMursyidul am PAS berkata, tindakan Hasan yang menyebabkannya dipecat genap seminggu lalu menggambarkan kenyataan yang "tidak cerdik", lebih-lebih lagi apabila bercakap secara terbuka kepada media milik Umno.

"Nasihat saya (pada Hasan), jaga mulut. Jaga mulut. (Sepatutnya) kalau ada masalah apa tak betul dengan parti, kita sebut dalam mesyuarat. Ini cakap dalam surat khabar,

"Lebih-lebih lagi surat khabar Umno pula. Lepas itu dibesar-besarkan. Tak cerdik kita bila kita cakap bom bang bom bang kepada orang ramai. Nak kata bodoh tak boleh. Tak cerdiklah," katanya.

Hasan yang merupakan penceramah motivasi terkenal dipecat serta merta daripada PAS pada 8 Januari lalu kerana tindakannya yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti, seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS.

pkr taman ehsan selayang ceramah 020810 hasan aliBeberapa jam selepas pemecatannya diumumkan, Hasan (kanan) dalam perhimpunan di rumahnya dilaporkan menyifatkan pemecatannya hanya kerana mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak mahu rakyat terjebak dalam permainan politik ketua pembangkang.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di kediaman rasminya di Kota Bharu Khamis lalu, mengenai nasib Hasan, Nik Aziz berkata terpulanglah kepadanya sama ada untuk merayu atau tidak atas keputusan jawatankuasa pusat PAS itu.

"Ikut dialah. Kita beri peluang pada dia merayu. Bila merayu kita tengok keas macam mana keadaannya," katanya tanpa mahu mengulas panjang isu itu.

'Nasha sudah akil baligh, ikut dialah'

Nik Aziz juga mengulangi bahawa pemecatan itu sebagai perkara biasa dan mengumpamakannya sebagai penceraian dalam rumah tangga melibatkan suami dan isteri.

"Saya sebut dah, anak ramai, perempuan kaya suami dapat (gelaran) datuk, harta banyak, juga bercerai.

"Kerana apa? Ada sebab-sebab tertentu," katanya sambil mengingatkan tentang pemecatan presiden PAS keempat Tan Sri Mohd Asri Muda daripada parti itu.

"Maknanya tak ada parti yang tak pecat ahlinya bila ada masalah. Di Kelantan ini, dua tiga orang Umno pun dipecat. "

azlanSementara itu, ditanya tentang pendirian bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa (kiri) yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Hasan, Nik Aziz hanya berkata "itu dia punya pasal".

"Saya ini bila ada kes di depan, dalam mesyuarat itu saya buat keputusan. Tetapi saya nak komen luar (mesyuarat) begini saya tak boleh.

"Ikut dia, sudah akil baligh. Orang itu dah akil baligh reti apa yang bercanggah dengan peraturan, apa yang tidak," katanya.

Nasharudin antara pemimpin PAS yang hadir menyatakan sokongan pada perhimpunan di rumah Hasan di Petaling Jaya pada malam beliau dipecat.

Beliau malah dilapor berucap mempertahankan Hasan yang dikatakan menghadapi tugas yang bukan mudah dan diasak daripada pelbagai sudut ketika menegakkan agama.

Hasan bayangkan tak merayu

Dalam perkembangan berkaiatan, Hasan dilapor membayangkan beliau tidak akan mengemukakan rayuan berhubung pemecatannya biarpun ada ruang sehingga 7 Februari depan.

Hasan berkata, beliau tidak kesal dengan pendirian itu selepas merasakan perjuangan dalam PAS dikhianati oleh sekumpulan ‘parasit’ yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain, lapor Sinar Harian.

“Saya tak boleh, jiwa saya tak boleh. Saya tidak nampak kenapa harus kekal dalam parti,” beliau dipetik sebagai berkata dalam Program Bicara Memurnikan Akidah Ummah, anjuran Sekretariat Selamatkan Akidah (HIMPUN) di Kuala Lumpur.

Nik Aziz diwawancara oleh Jimadie Shah Othman dan Nigel Aw.

Hasan mahu saman 'kuda tunggangan' parasit PAS

Bekas exco Selangor Datuk Hasan Ali berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar kerana mendakwa beliau menerima tajaan daripada Kementerian Belia dan Sukan.

hasan ali, jati president pc at his house, klSambi menyifatkan Mahfuz sebagai "kuda tunggangan" kumpulan parasit dalam PAS, beliau menafikan dakwaan kononnya NGO Melayu Jalur Tiga (JATI) yang kini diterajuinya ditaja RM30 juta untuk 2,000 program latihan.

"Saya tidak perlu terlibat dalam mana-mana perundingan dengan pihak kementerian belia dan sukan untuk membincangkan program latihan seperti dituduh ahli parlimen Pokok Sena itu," kata yang dipecat dari PAS awal tahun ini.

Semalam, Mahfuz pada sidang akhbarnya, menuntut supaya satu audit penuh dijalankan ke atas satu unit strategik di Kementerian Belia dan Sukan yang didakwa telah menyediakan sejumlah dana untuk membiaya program Hasan.

ahmad shabery cheek 041108 02Dakwanya, jumlah sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk unit strategik "seperti cawangan Umno" itu telah dikumpul daripada unit lain di kementerian berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga menafikan dakwaan berkenaan.
Ahmad Shabery (foto) sebaliknya berkata, Mahfuz berbohong dan bersifat kebudak-budakan dengan membuat dakwaan itu dalam sidang medianya pagi ini.

"Mahfuz bohong dan kebudak-budakan. Saya rasa dia sakit dan perlukan rawatan kaunseling," katanya sinis.

Bercakap dalam sidang media di rumahnya dekat Kuala Lumpur hari ini, Hasan juga menafikan melantik mana-mana pihak atau wakil bagi berunding dengan kementerian itu.

Katanya, pada masa ini beliau menyerahkan pada peguamnya meneliti perkara itu kerana ia menjejaskan kredibilitinya sebagai pemimpin politik, NGO, masyarakat dan pakar motivasi.

Lembu kambing

"Tidaklah RM50 juta, tapi mungkin hampir-hampir," katanya secara berseloroh apabila diasak oleh pemberita tentang jumlah samannya.

NONESaman itu akan difailkan dalam masa terdekat, katanya sambil menambah bahawa dakwaan Mahfuz itutidak masuk akal.

Katanya, jika benar dakwaan 2,000 programnya ditaja, ia akan mengambil masa sehingga 18 tahun bagi menghabiskannya kerana program beliau biasanya berlangsung selama tiga hari.

"Kalau lembu kambing pun boleh berfikir, tapi ada orang lebih teruk daripada itu," katanya menyindir Mahfuz (kiri).

Beliau juga menafikan dakwaan anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad kerana menimbulkan isu NGO Jalur Tiga (JATI) ditaja Puncak Niaga.

Sambil mendakwa itu "cerita kedai kopi", Hasan sekali lagi bersifat sinikal dengan menyoal: "Bila Khalid Samad dilantik sebagai jurucakap gereja?"

"Tidak ada. Tapi sebagai NGO kita akan terima bantuan siapa sahaja yang mahu memperjuangkan Islam," katanya.

NONESetakat ini, menurut Hasan, beliau menggunakan duit sendiri dan bantuan beberapa pihak yang enggan dikenali untuk program jelajahnya.

"Bukan BN," tegasnya bila ditanya khabar angin BN menaja programnya.

Hasan menyifatkan dakwaan berhubung dana JATI ditimbulkan bagi mengalih perhatian terhadap 'krisis' PAS Kedah.

JATI berkempen bagi lenyapkan Pakatan Rakyat


Aidila Razak
1:28PM Mac 6, 2012
Apabila membicarkan isu melindungi agama Islam, NGO Jalur Tiga (JATI) yang berusia belum setahun jagung, percaya bahawa cara paling berkesan adalah memastikan Pakatan Rakyat tidak berkuasa.

NONEPada ceramah JATI di kerusi di Gombak Setia, malam semalam yang dipegang oleh pengerusinya, Datuk Hasan Ali, mereka berkempen menentang DAP dan PKR yang diistilahkan beliau sebagai "unsur-unsur parasit" dalam PAS.

Sambil mengapi-api emosi hadirin yang berjumlah 500 orang itu, penceramah Shamsuddin Munir (kanan) menuduh pemimpin bukan Islam DAP dan PKR sebagai "pelampau dan cauvinis" dan melabelkan mereka sebagai "kafir harbi".

Shamsuddin, seorang pegawai kanan dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), berkata ini adalah kerana masyarakat bukan Islam berterusan memurtadkan umat Islam.

"Mereka adalah kafir harbi dan adalah wajib melancarkan perang ke atas mereka. Dalam erti kata moden, ini bermakna tidak memberikan satu pun kerusi kepada DAP atau PKR pada pilihan raya umum ini," katanya.

Membawa tema yang sama adalah bekas Ketua Penerangan PAS Selangor Hassan Basri Mohamad (bawah, kiri) yang mendakwa parti itu telah dihina sedemikian rupa kerana unsur-unsur parasit itu kini mahu pemimpin bukan Islam.

NONE"Mereka mahu Ustazah Ambiga (Sreenevasan) sebagai timbalan presiden. Adakah mereka begitu kebulur pada undi bukan Islam? ... Mereka akan memeluk Ambiga seolah-olah dia adalah seorang pejuang Islam, " hasut penceramah itu.

Bagi menambah kehangatan ceramah pada malam itu, yang hadirinnya, kebanyakan mereka dalam pertengahan umur, penceramah utama - Hasan Ali - memberi amaran terdapat tanda-tanda Perkara 153 perlembagaan persekutuan yang melindungi kepentingan orang Melayu akan dihapuskan.

"Tanda-tanda itu jelas dalam tindakan, kata-kata dan tulisan-tulisan mereka... jika Pakatan menang besar, mereka akan menggugurkan Artikel 153 dan menggantikannya dengan meritokrasi. Itulah sebabnya kita perlu institusi diraja yang boleh menghalang ini," katanya.

NONEHasan yang dipecat oleh PAS dan kemudiannya digugurkan dari exco kerajaan negeri Selangor, kemudiannya mendakwa beliau "melepaskan" jawatannya di mana beliau mampu memperolehi sehingga RM60,000 sebulan semata-mata untuk mempertahankan Islam, Melayu dan Institusi Diraja.

Pemuda PAS S'gor: Hasan ego, degil, sombong

Tindakan Datuk Dr Hasan Ali yang merancang menjelajah ke seluruh negara bagi mendedahkan "parasit" parti kini menunjukkan belang sebenar bekas exco kerajaan Selangor itu, kata Pemuda PAS negeri.

Timbalan ketua dewan itu Mohd Sany Hamzan berkata, sebagai orang yang pernah memegang jawatan tinggi dalam PAS, Hasan sepatutnya menerima keputusan dan mengikut prosedur dengan merayu atas pemecatannya.

"Tetapi beliau (Hasan) telah menunjukkan ‘belang' sebagai seorang yang egois, degil, sombong dan tidak boleh ‘dikawal' oleh peraturan parti," katanya.

Katanya, sekiranya benar wujud parasit dalam PAS, Dr Hasan sewajarnya membuat laporan kepada presiden supaya tindakan dapat diambil dan bukan menjajanya di dada untuk meraih simpati.

Hasan semalam tetap enggan mendedahkan "parasit" dalam PAS yang didakwanya memesongkan parti itu daripada landasan perjuangan Islam.

Katanya, identiti kumpulan berkenaan hanya akan didedahkannya dalam program ceramahnya ke seluruh negara, bermula dua minggu depan.

Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Sany berkata, tindakan Hasan itu hanya mengundang cemuhan dan menghilangkan hormat kerana rakyat didakwa sudah mengenali siapa Hasan sebenarnya.

"Dewan Pemuda PAS negeri Selangor tidak akan berdiam diri malah bersedia untuk ‘menjelajah' seluruh negeri Selangor untuk menjawab tohmahan dan fitnah Datuk Hasan terhadap PAS sekiranya beliau masih lagi memperlekehkan dan menghentam PAS secara terbuka," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Sany berkata, pihaknya berharap Dr Hasan menyedari kesalahannya dan memohon maaf atas "ketelanjuran dan keceluparan" beliau sebelum ini.

"Janganlah disebabkan oleh kehilangan jawatan dan kuasa menyebabkan maruah diri sanggup digadaikan dan diperkudakan oleh Umno/Barisan Nasional," katanya.

Hasan Ali tubuh JATI sebagai 'kuasa ketiga'

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali yang dipecat keahliannya oleh parti itu, akan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dinamakan 'JATI' untuk meneruskan agendanya memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu.

himpun rally in penang hasan ali"Secara peribadi orang tanya saya nak sertai Umno atau PKR... saya nak katakan, saya tidak akan sertai mana-mana parti politik, saya akan sertai NGO yang namanya JATI," katanya di Shah Alam.

Beliau yang ditemui selepas berceramah di Seksyen 17 malam semalam, turut mengakui masih sayangkan PAS dan mahu membantu parti itu menghapuskan golongan 'parasit' yang cuba merosakkan perjuangan asal PAS.

Sejak dipecat dari PAS pada 8 Jan lalu, spekulasi tersebar luas bahawa bekas anggota exco kerajaan negeri Selangor itu akan menyertai Umno.

Mengulas mengenai JATI, Hasan berkata, NGO tersebut akan dilancarkan pada 21 Februari depan.

Beliau turut mengajak NGO lain untuk bergabung dengan JATI bagi membentuk 'kuasa ketiga' yang diharapkan dapat mengimbangi kehadiran BN dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Ditanya sama ada kuasa ketiga itu akan menyokong parti memerintah, Hasan berkata, perkara tersebut belum diputuskan.

"Kita adalah kuasa ketiga kalau bertanding pun atas nama kuasa ketiga dan kita tak kisah sama ada kita bertanding bersama atau tidak bersama dengan mana-mana parti politik," katanya.

- Bernama

Ahad, 4 Mac 2012

Teringin nikah kali ketujuh



Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2012/03/04

Nenek 116 tahun mahu cari lelaki dekat jadi peneman hidup

ARAU: Warga tua berusia 116 tahun, Puan Ahmad yang turut dianggap sebagai wanita paling tua di Perlis, semalam menyuarakan isi hatinya untuk berkahwin lagi, walaupun pernah enam kali mendirikan rumah tangga.

Puan yang sebelum ini mendapat perhatian ramai kerana dikatakan berusia 16 tahun berikutan kekeliruan pada MyKadnya, mengakui sedang mencari calon untuk dijadikan teman hidup.

“Betullah tu, tok memang nak kahwin, cuma takut orang saja yang tak nak kahwin dengan tok. Depa (mereka) kata semua lelaki kahwin dengan tok mesti pi (meninggal) sebab pendek umur. Padahal, semua yang kahwin dengan tok dah memang tunggu masa nak pi.

“La (sekarang) tok tengah dok cari calon. Kalau boleh nak cari orang dekat sini saja. Bukan apa, saja nak buat peneman sebab bosan dok sorang tua-tua ni,” katanya ketika ditemui sempena program Jalinan Mesra Bersama Warga Tua yang diadakan di kediamannya di Padang Keria, dekat Sanglang, di sini.

Program itu dianjurkan Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (PKSM) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri khusus untuk meraikan 42 warga tua dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang. Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Pengerusi PKSM, Datuk Mastika Junaidah Hussin dan Pengarah JKM negeri, Abdullah Ali.

Hasil perkongsian hidup melalui dua suami pertamanya, Puan dikurniakan empat anak berusia antara 58 dan 73 tahun, selain 19 cucu dengan yang paling bongsu berusia 21 tahun, serta 47 cicit dengan usia paling tua 25 tahun.

Ditanya mengenai petua yang diamalkannya Puan berkata, menjadi kebiasaan orang lama sepertinya yang suka makan pucuk kayu segar dari hutan.

“Berbeza sekali dengan orang sekarang biasanya makan tak tentu hala ikut suka perut saja.

“Tok tak ada pantang apa-apa, cuma makan tu biar berpada. Ada orang kata bila tua banyak benda tidak boleh makan, tetapi tok makan apa saja termasuk daging, janji jangan banyak sangat.

“Alhamdulillah, sampai sekarang Tok tidak pernah lagi diserang sakit serius, apatah lagi nak merasa duduk di katil hospital. Bukan nak bangga, cuma tok bersyukur dan harap Allah akan terus bagi tok kesihatan,” katanya.

Sementara itu, dua anak lelaki Puan, Teh Man, 65 dan Mat Yusop Man, 63, ketika ditanya mengenai hasrat ibu mereka untuk mendirikan rumah tangga lagi, masing-masing dilihat tersenyum.

“Kami tak pernah halang dia kahwin lagi. Dulu, dia kahwin banyak kali pun kami tidak pernah bising. Itu hak dia, sebab kami pun sedar dia bosan dan sunyi,” kata Mat Yusop.

Suami, isteri bekal pelacur kelas atasan

2012/03/04

Tumpu pusat hiburan eksklusif, hotel mewah cari pelanggan VIP

JOHOR BAHRU: Kelicikan sepasang suami isteri berusia 30-an mendalangi sindiket pelacuran yang menawarkan pelacur untuk pelanggan korporat berakhir selepas ditahan polis, hasil serbuan terhadap sebuah pusat hiburan eksklusif di bandar raya ini, awal pagi semalam.
Suami isteri yang bertindak sebagai ibu dan bapa ayam itu, dikesan menjadikan pusat hiburan eksklusif dan hotel bertaraf lima bintang sekitar bandar raya ini untuk menawarkan khidmat tidak bermoral.
Mereka dipercayai meraih pendapatan lumayan menerusi kegiatan persundalan terbabit secara menyediakan pelacur untuk kepada pelanggan korporat dan kelas atasan itu.

Kegiatan suami isteri itu terbongkar apabila sepasukan Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7 ) Polis Johor menyerbu sebuah pusat karaoke kira-kira jam 12.30 pagi selepas dua hari mengintip kegiatan di situ.

Sejurus menyedari serbuan polis, bapa ayam terbabit yang berada di luar bilik karaoke, cuba melarikan diri meninggalkan isterinya tetapi berjaya ditahan ketika cuba menaiki lif.

Beberapa pelacur yang ditemui mabuk dalam bilik karaoke itu juga memberikan pelbagai alasan termasuk mahu berbogel kerana berang dengan tindakan polis menyerbu bilik karaoke terbabit. Masa sama, ada pelacur mendakwa baru dua kali melakukan perbuatan itu dalam usahanya merayu dilepaskan.
Pegawai Turus D7 Polis Johor, Deputi Superintendan Mohammad Abdul Hamid, berkata modus operandi yang digunakan pasangan suami isteri itu dengan menghantar pelacur ke pusat hiburan dan hotel eksklusif mengikut permintaan pelanggan istimewa mereka sebagai teman sosial selain menawarkan khidmat seks.

Katanya, susulan serbuan itu lima pelacur muda berusia 21 hingga 23 tahun ditahan bersama sepasang suami isteri berusia lingkungan 30-an yang menguruskan mereka.

“Pasangan bapa dan ibu ayam ini mengenakan caj RM650 bagi setiap gadis yang dihantar sebagai teman sosial VIP untuk berhibur dan RM1,200 pakej bermalam termasuk khidmat seks dengan menyediakan wanita tempatan bagi memenuhi keinginan seks mereka,” katanya.

“Polis menemui beberapa kondom yang belum digunakan, kertas yang mencatat rekod persundalan yang dijalankan dan sejumlah wang tunai, " katanya selepas serbuan itu.

Mohammad berkata, pasangan suami isteri terbabit kini sedang disiasat mengikut Seksyen 372(1)(F) Kanun Keseksaan manakala lima wanita disiasat mengikut Seksyen 372B kanun yang sama.

'Saya guna duit poket sendiri'

Oleh Nazura Ngah, Haspaizi Mohd Zain dan Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bharian.com.my

2012/03/04
Hasan Ali bertegas tak terima tajaan biaya ceramah jelajah negara

KUALA LUMPUR: Bekas EXCO kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menegaskan beliau tidak menerima tajaan daripada mana-mana parti politik serta Kementerian Belia dan Sukan, sebaliknya menggunakan duit poket sendiri untuk menjayakan siri ceramah jelajah negara yang kini sudah berada di 33 kawasan.

Hasan yang juga Presiden JATI, berkata program anjuran pertubuhan itu termasuk ceramah tiada kaitan dengan tajaan daripada mana-mana pihak dan pihak yang mendakwa boleh tampil mengemukakan bukti.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak menafikan ada menerima sedikit sumbangan daripada pihak yang sama-sama mahu memartabatkan Islam, Melayu dan mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu yang tidak mahu nama mereka didedahkan, malah menganggap tidak salah NGO menerima sumbangan itu.

“Saya tidak nampak apa masalahnya... masalahnya ialah ada orang dengki, hasad, khianat, tidak boleh lihat orang senang (sebab itu ada dakwaan JATI mendapat tajaan),” katanya pada sidang media di rumahnya, di sini, semalam.

Kelmarin Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta penjelasan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kononnya terdapat unit di bawah kementerian itu yang menyumbangkan RM30 juta untuk membiayai 2,000 siri ceramah Hasan di seluruh negara, menjelang pilihan raya umum akan datang.

Hasan dikatakan diberi tugas untuk mendekati golongan belia dalam siri ceramahnya di seluruh negara untuk menarik sokongan di kalangan pengundi muda.
Sehubungan itu, Hasan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mahfuz dalam masa terdekat kerana tuduhan itu disifatkan berniat jahat, fitnah dan cubaan untuk memburukkan imej dan mencemar kredibilitinya sebagai ahli politik dan pakar runding profesional.

Kenyataan itu juga katanya mencemar imejnya sebagai pakar motivasi dan peneraju badan bukan kerajaan (NGO) seperti JATI yang berjuang untuk mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mendaulatkan institusi Raja Melayu.

“Saya percaya Mahfuz menjadi kuda tunggangan untuk mengalihkan isu pergolakan politik di Kedah selain (dengki dengan) kejayaan program jelajah yang menerima kunjungan antara 15,000 hingga 20,000 orang di setiap kawasan.

“Saya lihat kenyataan Mahfuz begitu berani malah saya anggap paling berani di dunia kerana beliau tidak kisah sama ada kenyataan itu disokong dengan fakta atau tidak,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor menegaskan beliau tidak terbabit dalam mana-mana rundingan dengan KBS untuk membincangkan program belia seperti didakwa Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

15 GRO beraksi ghairah ditahan


2012/03/04

KUALA LUMPUR: Seramai 15 wanita pelayan pelanggan (GRO) sebuah premis hiburan di Jalan Metro Prima Perdana Barat 7, Kepong, di sini ditahan kerana terbabit dalam kegiatan tidak bermoral, termasuk melakukan pelbagai aksi ghairah.

Ketika serbuan jam 2.30 pagi semalam itu, 14 wanita warga Thailand dan seorang warga Vietnam terbabit berpakaian seksi sehingga menampakkan seluar dalam dan coli sedang leka mengadakan tarian menghairahkan di atas pentas dalam premis berkenaan.

Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Azman Md Isa, berkata wanita warga asing berusia antara 22 hingga 34 tahun itu melakukan pelbagai aksi ghairah bagi memikat hati pengunjung premis yang beroperasi secara haram sejak lima tahun lalu itu.

Katanya, siasatan awal mendapati, sejurus tarian dihentikan untuk seketika, GRO terbabit akan datang ke meja pengunjung sebelum menawarkan khidmat seks yang akan dilakukan di hotel bajet berhampiran sejurus premis menamatkan operasinya sekitar jam 2 pagi.

“Pemeriksaan juga mendapati semua wanita yang ditahan memasuki negara ini berulang kali dengan menggunakan pas lawatan sosial dan akan disiasat mengikut Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya ketika ditemui selepas serbuan dijalankan.

Selain GRO warga asing dan penjaga premis berkenaan, polis turut mengambil keterangan daripada pengunjung premis hiburan terbabit terdiri daripada 44 lelaki dan lima wanita.

Azman berkata, pemilik premis juga akan dikenakan tindakan mengikut akta sama kerana membenarkan pekerja asing bekerja tanpa sebarang permit sah, selain tindakan atas kesalahan menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen.

Ratusan pelanggan, GRO ditahan di Seremban

2012/03/04
SEREMBAN: Seramai 103 pelanggan yang sedang menikmati layanan gadis pelayan (GRO) warga asing, ditahan polis dalam serbuan serentak ke atas empat premis hiburan di Taman AST di sini, malam tadi.

Dalam operasi yang dilakukan Jabatan Sisatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri itu, pihak berkuasa turut menahan 103 GRO warga asing yang bekerja di premis hiburan terbabit.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, ACP Hamdan Majid, berkata semua pelanggan tersebut adalah lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an.
"Semua GRO itu pula terdiri daripada 90 warga China, 12 Vietnam dan seorang dari Filipina berusia antara 21 dan 45 tahun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hamdan berkata, ketika serbuan dilakukan, semua GRO berkenaan yang sedang leka melayan pelanggan masing-masing tergamam dan beberapa orang daripada mereka cuba melarikan diri dengan bersembunyi di dalam "lubang tikus".

Bagaimanapun, katanya, pasukannya yang diketuai ASP Yusharifuddin Mohd Yusop berjaya mengesan taktik itu sebelum menahan wanita-wanita terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan masuk ke negara ini dengan cara yang sah tetapi telah menyalahgunakan pas lawatan mereka dengan bekerja di premis terbabit.
"Ada di antara wanita ini menyalahgunakan pas lawatan sosial, pas pelajar dan permit bekerja di bidang industri dengan bekerja sebagai GRO di kelab malam berkenaan," katanya.

Katanya, semua pelanggan dibebaskan selepas diambil keterangan, manakala wanita GRO itu pula ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen kerana bekerja tanpa permit yang sah. - BERNAMA