-
March 12, 2013
4
5
0
LAHAD DATU – Ahli Parlimen Silam, Dr. Salleh Kalbi hari ini menawarkan tajaan perjalanan termasuk penginapan kepada Tian Chua untuk datang ke sini terutama di kawasan pencerobohan pengganas militan Sulu bagi memberi peluang kepada beliau melihat dan menilai sendiri sejauh mana situasi di tempat tersebut.
Bagi Salleh, tidak ada guna pemimpin PKR itu bercakap sesuka hatinya mengenai apa yang terjadi ketika ini sedangkan Ahli Parlimen Batu itu langsung tidak pernah menjejakkan kakinya ke zon konflik yang dimaksudkan.
” Beliau (Tian Chua) mendakwa ini semua konspirasi…jadi saya cabar beliau datang ke sini dan lihat apa yang terjadi.
” Kalau beliau keberatan untuk mengeluarkan perbelanjaan, saya sanggup taja kesemuanya.
” Saya serius dalam hal ini, saya mahu beliau datang ke tempat saya, ke tempat anggota keselamatan kita dibunuh, ke kawasan rakyat kita yang menjadi mangsa kekejaman pengganas ini,” tegasnya ketika ditemui Mynewshub.my di Felda Sahabat di sini hari ini.
Pada 1 Mac lepas, Portal KeadilanDaily, antara lain, memetik Tian Chua sebagai berkata pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat, seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.
Semalam polis telah merekodkan keterangan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berhubung kenyataannya.
Sepasukan polis dari Kontinjen Johor telah mengambil keterangan Ahli Parlimen Batu itu di ibu negara.
Polis juga telah merakamkan keterangan dua Editor Keadilan Daily dan wartawan dari The New Straits Times Press.
Dalam pada itu, Salleh berkata, selepas insiden ini ditamatkan, beliau akan memohon kepada kerajaan untuk melakukan beberapa penambahbaikkan kepada penduduk yang terlibat memandangkan mereka melalui situasi yang cukup sukar sejak peristiwa pencerobohan itu berlaku.
” Kerajaan perlu membina semula penempatan bagi para penduduk termasuk menyediakan perumahan yang lebih selesa, tersusun dan terancang.
” Pada masa yang sama, kita perlu membantu mereka terutama yang terpaksa menanggung hutang dan beban kewangan, maklumkan bila insiden ini terjadi, ramai mereka tidak boleh keluar bekerja, perniagaan mereka juga jatuh merudum hingga membuatkan pendapatan masing-masing terjejas dengan teruk.
” Satu pembinaan lapangan terbang yang lebih moden juga diperlukan…bukan saja demi tuntutan komersil, tetapi juga untuk kegunaan pasukan keselamatan kita bila berlaku perkara yang tidak diingini di masa akan datang,” tegasnya.
– Mynewshub.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan