Translate

Bantu

Sila Ketik sini untuk bantu Blog ini

Khamis, 9 Januari 2014

'Tiger! Berambus kau dari sini. Ini bumi kami'

Pasukan Keselamatan Malaysia betul-betul mempunyai beberapa saat saja untuk respon terhadap sekumpulan pengganas Sulu, ketika bertembung dengan mereka di Kampung Tanduo, Lahad Datu bila satu tembakan meletus pada 1 Mac tahun lepas.
  
Superintenden Mancha Anak Laga dari Pasukan Operasi Am (GOF) Komando VAT69 memberitahu Mahkamah Tinggi, yang bersidang di Jabatan Penjara Sabah di Kota Kinabalu bahawa pada kira-kira 10 pagi hari berkenaan, pasukannya bertembung dengan sekumpulan antara 35 dan 40 orang, yang memakai pakaian celoreng dan menjerit pada mereka dalam Bahasa Malaysia, "Tiger! Berambus kau dari sini. Ini bumi kami!" dan kemudian mula menembak anggota pasukannya.
  
Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed tentang jarak masa ketika penceroboh itu menjerit dan bila tembakan meletus, beliau berkata: "Kira-kira tiga hingga empat saat."
  
"Selepas mereka mula menembak berterusan, pasukan saya dan saya sendiri mencari perlindungan dan mula membalas tembakan ke arah mereka. Ia berlarutan kira-kira sejam.

"Semasa berbalas tembak, seorang daripada orang saya Korporal Sabaruddin Daud, terbunuh akibat beberapa kecederaan di kepala selepas ditembak oleh penceroboh," katanya.
  
Mancha adalah saksi ketiga pendakwa dalam perbicaraan 30 orang yang dituduh melakukan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti pengganas di Sabah tahun lepas.

Beliau berkata beliau telah memberitahu komander taktikalnya Datuk Abdul Rashid Harun, tentang pertempuran itu dan kemalangan jiwa, menerusi walkie-talkie.
  
Beliau juga mendengar bahawa satu lagi pasukan mengalami seorang terkorban, iaitu Inspektor Zulkifli Mamat, menerusi walkie-talkie.
  
Selepas pertempuran berhenti, Mancha dan pasukannya keluar memeriksa lokasi serangan dan menemui mayat 12 orang pengganas yang mereka tembak, dan beberapa laras senjatapi.
  
Ditanya oleh Abdul Wahab sama ada beliau tahu maksud perkataan 'tiger', yang digunakan oleh penceroboh, Mancha berkata ia merujuk kepada dirinya dan anggota pasukannya. 
  
Terdahulu, seorang anggota polis bantuan di Felda Sahabat, Lahad Datu memberitahu mahkamah beliau nampak sekumpulan lelaki memakai uniform celoreng di Kampung Tanduo selepas keluar memancing pada pagi 12 Februari.
  
Mohd Ali Asmadi, 40, berkata beliau menganggarkan terdapat lebih 100 orang di kampung itu.
  
"Saya yakin mereka bukan anggota Tentera Malaysia kerana saya belum pernah melihat askar Malaysia memakai uniform jenis itu," katanya.
  
Mohd Ali berkata beliau dan rakan memancingnya, Saharizan Shardik berada di muara sungai kampung itu dan berada antara 15-20 meter dari surau kampung itu di mana beberapa orang telah berkumpul.
  
Menurut Mohd Ali, kira-kira 2 pagi 12 Feb, beliau terdengar bunyi enjin yang kuat dan nampak imej samar sebuah kapal melintas depan botnya dari laut terbuka ke tepi pantai Kampung Tanduo.
  
"Selepas beberapa ketika, bunyi enjin terhenti. Tetapi 15 minit kemudian, kami mendengar semula bunyi enjin dan dari bunyi itu, kapal itu semacam menuju semula ke laut terbuka.
  
"Ketika ini, ia (kapal itu) berada agak jauh dari bot kami," kata beliau.
  
Mohd Ali berkata beliau dan rakannya menunggu beberapa ketika sebelum meninggalkan kampung itu untuk menentukan mereka tidak dikesan dan ditangkap oleh penceroboh.
  
Tengah hari itu, Mohd Ali membuat laporan berhubung pencerobohan itu di balai polis Cenderawasih di Felda Sahabat.
  
Daripada 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah antara 12 Feb dan 10 April, 22 termasuk dua rakyat Malaysia, didakwa menganggotai kumpulan pengganas, dan jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup dan denda.
  
Mereka turut berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup.
  
Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.
  
Lima individu daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya anggota kumpulan pengganas.
  
Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.
  
Sejumlah 27 tertuduh merupakan warga Filipina manakala bakinya adalah warga tempatan.
  
Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung bersambung esok.

- Bernama

Mat Salleh · Top Commenter · Sabah College
Keselamatan negara pada masa akan datang adalah tergantung pada generasi baru dari SOLO (generasi PTI). Apabila mereka terlalu ramai di kawasan2 tertentu di Sabah dan jika kesetiaan mereka ke arah negara asal usul serta menuntut Sabah, keselamatan tergugat. Tetapi sekiranya mereka setia kepada kepimpinan negara, negara Malaysia aman.