Translate

Bantu

Sila Ketik sini untuk bantu Blog ini

Sabtu, 9 Mac 2013

Kecundang lagi... Chong Wei

Chong Wei kempunan gelaran ketiga

AKSI gembira Chen Long selepas menewaskan Lee Chong Wei untuk merangkul kejuaraan All England buat kali pertama di Birmingham, semalam. - AGENSI
 
KUALA LUMPUR - Tanpa kelibat Lin Dan, Datuk Lee Chong Wei masih gagal membawa pulang kejuaraan All England buat kali ketiga apabila akur dengan kehebatan bintang muda China, Chen Long dalam perlawanan akhir di Birmingham semalam.

Sekalipun tidak menurunkan juara Olimpik dan dunia, Chen Long tetap mampu memenuhi impian China apabila merangkul kejuaraan sulung dengan membenam Chong Wei 21-17, 21-18 dalam pertarungan yang berlangsung selama 62 minit.

Kegagalan semalam bermakna impian Chong Wei untuk pulang bersama gelaran ketiga selepas muncul juara 2010 dan 2011 bukan sahaja tidak kesampaian, malah dikecewakan dalam saingan akhir buat kali kedua berturut-turut. Tahun lalu, dia terpaksa menarik diri ketika menentang Lin Dan akibat kecederaan.

Chen Long, 24, membuktikan standard permainannya semakin hampir menyamai Lin Dan, malah mengesahkan dia kini pesaing utama untuk mencabar gelaran dunia, Ogos nanti.
Kemenangan terbaru ini membolehkan dia merapati rekod pertemuan dengan Chong Wei kepada 6-13.

Segalanya tidak menjadi buat Chong Wei sejak awal permainan apabila ketinggalan 0-7 di set pertama akibat melakukan banyak kesilapan sendiri.

Biarpun berjaya merapatkan jurang 13-15, pemain No. 1 Dunia itu tidak mampu mengatasi Chen Long apabila membenarkan lawan meraih dua mata penting pada kedudukan 17-19 untuk tewas 17-21.

Skrip sama berulang di set kedua dengan permainan di depan jaring Chen Long kerap memerangkap pemain negara itu.

Chong Wei cuba memberi tentangan apabila bangkit daripada ketinggalan 6-12 untuk mendahului buat kali pertama pada kedudukan 15-14.

Namun ketenangan Chen Long pada kedudukan 18-18 memastikan pemain No. 2 dunia itu pulang bersama kejuaraan.

Artikel Penuh:

© Utusan Melayu (M) Bhd

CPs:

Ramai penyokong Msia di sana pastinya kecewa. Pemain nombor 1 tewas di tangan pemain nombor 2 dunia. Cuba lagi Chong Wei jangan jadikan ini titik terakhir sebelum bersara.

Tahniah Chong Wei  kerana mara ke Final All England 2013  , dia akan bertemu Chen Long  malam ni , sama-sama kita bagi sokongan . Pada peringkat separuh akhir , dia telah mengalahkan pemain kurang ternama dari Thailand , apa pun tahniah kerana mara ke Final , harap dapat muncul juara.

 Chong Wei ke final


Lee Chong Wei (kanan) meraikan kejayaan menewaskan pemain Thailand, Tanongsak Seansomboonsuk untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton All England di Birmingham, semalam. - AFP 
KUALA LUMPUR - Seperti dijangka pemain badminton No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mudah menempah tempat ke saingan akhir All England selepas meraih kemenangan 22-20 21-8 menundukkan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk pada separuh akhir, semalam.
Seandainya Chong Wei memenangi perlawanan akhir hari ini ia akan menjadi gelaran ketiganya dalam kejohanan itu selepas 2011 dan 2010.

Pada perlawanan semalam, Chong Wei hanya memerlukan 33 minit untuk menundukkan lawan tidak ternama itu meskipun Tanongsak cuba untuk memberikan saingan pada set pertama.
Bagaimanapun, pada set kedua, Tanongsak akhirnya terpaksa akur dengan ketangkasan Chong Wei yang tidak memberikan ruang untuk pemain Thailand itu menambah mata hingga tamat perlawanan.

Kata Chong Wei kemenangan tersebut menaikan semangatnya untuk mendapatkan gelaran pada All England kali ini.

"Selalu orang asyik cakap tentang All England dan ini juga adalah sebahagian daripada tumpuan saya untuk tahun ini.

"Semua ini juga adalah hasil latihan kuat saya selama ini," kata Chong Wei.

Pada saingan akhir hari ini pemain pilihan utama kejohanan itu dijadual menentang pemenang antara Cheng Long dari China atau pemain Denmark, Jan O Jorgensen.

Keputusan separuh akhir lain setakat tengah malam semalam menyaksikan pemain perseorangan wanita Thailand, Intanon Ratchanok mara ke saingan akhir selepas meraih kemenangan 21-15 21-19 menewaskan Saina Nehwal dari India.

Sementara, dalam acara beregu lelaki Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dari Jepun menewaskan pasangan Thailand, Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech dengan keputusan 22-20 21-15.
Perlawanan akhir hari ini akan menyaksikan pasangan beregu Jepun itu akan menentang
gandingan dari China, Xiaolong Liu-Zihan Qiu yang meraih kemenangan 21-12 13-21 21-17 pada saingan separuh akhir ke atas Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan