KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyeru supaya ‘keganasan’ di Sabah, dihentikan.
Kenyataan yang dikeluarkan jurucakapnya dan disiarkan dalam laman web badan dunia itu berkata Ban mencadangkan supaya pihak yang terbabit mencari penyelesaiaan secara aman terhadap apa yang berlaku.
Kenyataan itu juga berkata, Ban memantau dengan rapi perkembangan yang berlaku di Sabah.
“Setiausaha agung menyuarakan keprihatinan beliau tentang kesan yang mungkin tercetus daripada keadaan itu terhadap orang awam, termasuk golongan migran di rantau berkenaan.
“Beliau menggesa semua pihak supaya mempermudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan mengambil tindakan yang mematuhi sepenuhnya norma serta standard hak asasi manusia antarabangsa,” kata kenyataan itu.
Selasa lalu, pasukan keselamatan Malaysia melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F-18 dan Hawk dalam operasi pertamanya bagi menggempur kumpulan bersenjata dari Filipina yang melakukan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari.
Penceroboh juga dikesan di beberapa tempat lain di negeri itu. Lapan anggota polis terkorban, dua dalam pertempuran di Lahad Datu pada Jumaat dan enam dalam serang hendap di Kampung Simunul, Semporna sehari kemudian.
- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan