KOTA KINABALU – Datu Mohd Akjan Ali
Muhammad yang mendakwa dirinya sebagai waris Kesultanan Sulu yang
sebenar meminta komuniti itu untuk tidak memberikan sebarang bantuan
kepada kumpulan bersenjata Sulu yang sedang terlibat dalam pertempuran
dengan anggota keselamatan Malaysia.
Akjan yang mendakwa sebagai pewaris sah
kepada kesultanan Sulu berkata, komuniti Suluk di Sabah harus taat setia
kepada Malaysia.
Sambil meminta saki lelaki bersenjata
Sulu untuk meletakkan senjata mereka dan menyerah diri tanpa syarat, dia
berkata kedegilan mereka hanya akan menyebabkan masalah itu berterusan.
“Saya ingin memberi amaran kepada
komuniti Suluk di sini bahawa mereka adalah rakyat Malaysia. Oleh itu,
mereka harus sentiasa taat setia kepada Malaysia dan menjadi antara yang
pertama untuk tampil ke hadapan dalam mempertahankan negara.
“Lelaki bersenjata Sulu harus berundur tanpa meletakkan sebarang syarat.
“Jika mereka terus berdegil, ia hanya akan membawa banyak masalah kepada diri mereka.
“Jika anda (Tausug dari Filipina) ingin
menuntut Sabah, jadi kami, komuniti Suluk dari Sabah, juga boleh membuat
tuntutan itu. Namun apa yang perlu dituntut apabila kami kini adalah
rakyat Malaysia sementara anda adalah kumpulan dari Republik Filipina
sama seperti Jamalul Kiram III,” kata Akjan yang ditahan berhubung
‘Projek IC’.
“Langkah mayat saya dulu sebelum saya
membenarkan rakyat Filipina menuntut Sabah sebagai sebahagian dari
negara mereka,” katanya.
Akjan yang juga merupakan Pengerusi
Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) di Sabah berkata,
mereka menyokong pendekatan yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak untuk mengusir keluar kumpulan bersenjata itu.
Dia berharap komuniti lain di Malaysia
tidak beranggapan sterotaip terhadap komuniti Suluk di negara ini
selepas insiden di Lahad Datu.
“Kami komuniti Suluk Sabah dan Malaysia, sudah berada di sini untuk sekian lama.
“Mustahil bagi kami untuk menjadi sebahagian dari Filipina,” katanya.
Akjan turut menuntut permohonan maaf
daripada Naib Presiden PKR, Tian Chua berhubung kenyataannya yang
mengaitkan Umno dalam pencerobohan rakyat asing itu.
– mStar Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan