Translate

Bantu

Sila Ketik sini untuk bantu Blog ini

Rabu, 6 Mac 2013

Doakan wira negara kita syahid: Mufti


Kuala Lumpur: Beberapa mufti menyifatkan anggota keselamatan yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan negara di Lahad Datu dan Semporna sebagai mati syahid.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, mangsa mati syahid kerana berjihad melawan musuh demi mempertahankan negara.

Sehubungan itu, katanya umat Islam dinasihatkan berdoa supaya mangsa meninggal dunia dalam iman dan diberikan ganjaran pahala sewajarnya di sisi Allah SWT.

“Syarat besar menentukan syahid di sisi Allah ialah niat, sama ada niat untuk menegakkan agama Allah atau sebaliknya kerana jika ada yang berperang semata-mata untuk menunjukkan kehebatan dan keberanian atau balas dendam, ia tidak boleh dikira syahid.

Ganjaran pahala sewajarnya

“Semoga usaha mempertahankan kedaulatan negara dan agama ini diterima oleh Allah sebagai satu jihad, maka doakan mereka mendapat ganjaran pahala yang sewajarnya di sisi Allah SWT,” katanya.

Sementara itu Mufti Selangor, Datuk Mohamad Tamyes Abd Wahid, berkata mudah-mudahan mangsa yang meninggal dunia kerana mempertahankan kedaulatan negara menerima ganjaran pahala di sisi Allah SWT termasuk terlepas daripada seksaan api neraka.

Katanya, syahid dikategorikan sebagai syahid dunia akhirat dan syahid akhirat. Mereka yang terkorban kerana berjuang mempertahankan agama Allah tergolong dalam golongan syahid dunia akhirat.

Manakala, katanya mereka yang hanya berjuang semata-mata mempertahankan negara dikurniakan syahid akhirat atau syahid kecil.

Beliau berkata, syahid akhirat dikurniakan kepada umat Islam yang mati mengejut antaranya disebabkan terkena tembakan, kemalangan jalan raya, kebakaran atau ketika bersalin.

“Kalau matlamat untuk mempertahankan agama, baru wujud syahid dunia akhirat, kalau tidak ada niat begitu tetapi sekadar niat untuk mempertahankan negara, itu dikira syahid kecil.

“Kita doakan mereka mati dalam iman... berjuang sama ada untuk mempertahankan diri atau negara mesti ada prinsip kerana Allah Taala bukan kerana sebab yang lain atau dengan niat kerana gaji atau pangkat,” katanya.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman, berkata anggota keselamatan yang gugur ketika mempertahankan negara dianggap syahid akhirat yang membolehkan mereka mendapat pahala di akhirat.

Wajib pertahan negara

Katanya sesebuah negara yang diiktiraf pemerintahannya oleh rakyat dan menjadi negara berdaulat wajib dipertahankan daripada sebarang anasir pencerobohan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim pula menyifatkan tindakan mempertahankan kedaulatan Malaysia yang diiktiraf negara Islam bakal memperoleh ganjaran tinggi di sisi Allah.

“Saya anggap Malaysia negara Islam dan tentera yang berjuang adalah tentera Islam. Apabila negara kita diceroboh, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan negara ini,” katanya.

Sementara itu di Kapar, jenazah Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27, yang terkorban diserang hendap lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah, Sabtu lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Rantau Panjang, malam tadi.

Jenazah tiba di rumah keluarganya di Jalan Telok Kempas, Rantau Panjang, di sini, kira-kira jam 8 malam tadi dan dikebumikan jam 9.30 malam disaksikan lebih 3,000 orang.

Di Subang Jaya, Allahyarham Superintendan Ibrahim Lebar, 52 dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini, semalam.

Jenazah Allahyarham diiringi isteri, Rosiah Dahlan, 53 serta tiga anaknya iaitu Amirul Shafiq Ibrahim, 22, Amira Shahira Ibrahim, 20, dan Amira Shahida Ibrahim, 17, dikebumikan pada jam 9.50 malam tadi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan