8 Apr 2013, 11:06am |
Miss Ayu |
Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian
2012 (ABPBH 2012), Shaheizy Sam menganggap kemenangannya malam tadi
sebagai satu magik. Jelas hero pujaan ramai ini dia rasa sangat
berterima kasih kepada kelab-kelab peminatnya yang menyusun strategi
bagi memastikan kemenangan menjadi miliknya.“Saya tidak sangka trofi ini akan menjadi milik saya kembali. Saya memang tidak meletakkan harapan tinggi kerana saya tahu calon-calon yang bertanding pada malam ini hebat-hebat belaka. Masing-masing punya peminat setia yang tidak henti-henti memberikan sokongan. Bagaimanapun, malam ini rezeki saya. Saya bertuah kerana mempunyai ‘The Magician Fans’. Usaha mereka inilah yang meletakkan saya di sini. Mereka ada strategi tersendiri untuk menangkan saya dan saya berasa sangat berterima kasih kepada mereka. Saya anggap kemenangan saya ini sebagai satu magik.
Selain itu, saya juga ada seorang ibu yang tidak pernah jemu mengundi saya pada setiap tahun. Setiap hari mummy akan isi borang untuk undi saya. Saya beberapa kali melarang dia berbuat begitu, tetapi mummy tidak pernah putus asa. Sebagai anak, sudah tentu saya berasa terharu dengan sokongan yang mummy berikan,” luah Sam tentang kemenangannya di malam kemuncak ABPBH 2012.
Ditanya sama ada dia akan mengadakan satu majlis istimewa bersama-sama kelab peminatnya, Sam memberitahu buat masa ini dia tidak ada sebarang perancangan. Namun menegaskan selama ini dia tidak pernah melupakan peminat. Malah, dia sentiasa mencari cara untuk menghargai peminat-peminatnya.
“Saya tidak pernah melupakan peminat biarpun tidak mengadakan majlis-majlis istimewa. Saya sudah anggap penyokong-penyokong saya ini sebagai keluarga saya sendiri. Saya sudah boleh kenal mereka yang sering hadir memberi sokongan kepada saya. Saya tidak akan mengabaikan penyokong-penyokong ini kerana saya memang memerlukan mereka. Mereka inilah yang akan membeli tiket apabila filem lakonan saya berada di pawagam.
Sebagai tanda terima kasih, hari ini (Ahad) saya telah memasak Nasi Goreng Tomyam untuk dinikmati oleh 100 orang peminat yang hadir ke Stadium Bukit Jalil ini. Saya tidak mampu bayar mereka untuk sokong saya, jadi ini adalah salah satu cara saya hargai mereka,” ujar Sam lagi.
Shaheizy Sam menyingkirkan calon sebutan ramai, Aaron Aziz dan Zizan Razak untuk Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 2012 apabila berjaya meraih undi sebanyak 79,656 undi. Sam juga mengungguli kategori Pelakon Filem Lelaki Popular menewaskan Zizan Razak, Aaron Aziz, Adi Putra dan Bront Palare.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan