Nafiizwan juara Terbuka Ireland Mohd Nafiizwan Adnan
Kuala Lumpur: Pemain skuasy nombor dua negara, Mohd Nafiizwan Adnan akhirnya menamatkan kemarau kemenangan dalam siri Jelajah Dunia PSA dengan menjuarai Terbuka Ireland di Dublin, kelmarin.

Dalam perlawanan akhir di Fitzwillian Tennis Club, Mohd Nafiizwan, yang diletakkan sebagai pilihan ketiga, mengejutkan pemain pilihan kedua Omar Abdel Meguid dari Mesir 13-11, 8-11, 11-7, 11-2 dalam tempoh 57 minit.
Mengulas kejayaan berkenaan, pemain kelahiran Terengganu berusia 27 tahun itu berkata, kemenangan tersebut amat bermakna kerana ia adalah kemenangan pertama yang diraihnya dalam kejohanan skuasy terbuka antarabangsa tahun ini.


"Saya akan berehat dulu selepas seminggu bertungkus-lumus. Ireland membawa tuah kepada saya, ini adalah kejohanan yang hebat dan saya harap Canon Kirk Homes, penaja kejohanan ini, akan memberi sokongan kepada kejohanan ini tahun depan," katanya. - BERNAMA