March 7th, 2013 admin
Ramai pendapat daripada mana-mana pihak mengandaikan semua yang berlaku ini ada dalangnya. Kiri mengata kanan dan kanan mengata di belakang dan seterusnya begitu sehingga tidak pernah tamat. Sikap yang perlu kita istiqamah dalam hal ini ialah melihat kembali apakah peristiwa ini sebagai satu konspirasi terancang yang dicipta oleh pihak kerajaan. Dalam mengutarakan pandangan, saya tidak mahu menuding kepada mana-mana pihak. Sebijak manakah kemampuan pentadbiran politik negara kita untuk memutarbelitkan apa yang sedang berlaku di Lahad Datu ini? Pernahkah anda ingat yang Geogre W Bush sendiri pun kantoi dengan banyak pihak sehingga kejadian itu adalah dicipta oleh pihak mereka untuk menghalalkan darah orang Islam di seluruh dunia dengan gelaran ‘pengganas’? Padahal mereka mempunyai risikan dan pencipta teori konspirasi yang paling hebat di dunia.
Bagi saya, hal ini perlu didetailkan lagi.
Baik, berbalik kepada kes di Lahad Datu, sukar mempercayai kejadian itu sebagai satu permainan politik apabila melibatkan nyawa manusia walaupun kita tidak pernah lupa akan kejadian di Memali pada tahun 1985. Namun, dalam konteks sekarang, apabila pencerobohan berlaku sebenarnya ia memberi impak dan kesan kepada pihak kerajaan sendiri. Mereka dibebani dengan tekanan politik yang kuat daripada pihak pembangkang. Kes-kes lain yang membelenggu tidak pernah selesai, beranikah mereka mencipta satu lagi drama Pangako Sayo? Seandainya satu perkara ‘bodoh’ dilakukan dikala rakyat mahukan perubahan, nescaya kerajaan yang ada sekarang hanya menjadi kenang-kenangan sahaja.
Dalam konteks ekonomi juga saya percaya kerajaan tidak berani untuk melaksanakan hal ini. Ekonomi kerajaan dalam keadaan terumbang-ambing dan proses tamatnya fasa pemerintahan akan berakhir yang mana pihak kerajaan memerlukan dana wang yang ‘secukup dan sesedap rasa’ katanya. Ramai yang duduk dalam dunia maya menuduh konspirasi walhal kes ini sebenarnya merugikan kerajaan sendiri sebab terpaksa keluarkan kos belanja perang yang tinggi, duit yang disimpan untuk PRU-13 digunakan untuk menjaga kedaulatan negara, maknanya Allah SWT terlebih dahulu tidak mengizin mereka mengguna duit untuk memenangkan puak mereka.
Segala yang berlaku adalah kerana izin Allah SWT. Malahan kes ini membawa kepada ingatan asal supaya mengenangkan akan kejadian ramainya pendatang yang diihsankan dengan pemberian kad pengenalan percuma sehingga melayakkan mereka mengundi mana-mana pihak yang telah menabur bakti dan jasa dan balasan diberikan dalam bentuk undi sebagai tanda terima kasih. Namun, hal ini masih boleh diperdebatkan lagi sebagai satu kajian pada masa yang akan datang.
Jika merujuk kepada ramainya warga Sulu di Sabah. Situasi ini sebenarnya mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Sebabnya ialah Kaum Sulu mungkin akan mula menjadi ‘perhatian’ banyak masyarakat dalam banyak perkara terutamanya dalam hal-hal sensitif berkaitan dengan jenayah atau apa sahaja yang menggugat ketenteraman awam di Sabah. Sedih. Malahan akan berlaku kes-kes majikan yang takut untuk mengambil pekerja-pekerja dalam kalangan Kaum Sulu. Penindasan dari segi politik dan ekonomi besar kemungkinan akan berlaku dan banyak pihak akan rugi sehingga wujud rasa dendam terhadap peristiwa Lahad Datu dan banyak lagi krisis kepercayaan yang mungkin timbul terhadap Kaum Sulu. Saya tidak menekankan aspek perkauman sebab sulu adalah salah satu daripada rumpun Melayu juga malahan merupakan golongan muslim antara yang terbesar di Asia Tenggara. Cuma kes ini akan memberikan persepsi yang negatif oleh kaum lain terhadap mereka.
Dalam hal lain yang berkaitan, mungkin orang Sabah (semua kaum termasuklah Kaum Sulu) tidak kisah jika pihak keselamatan negara ‘berperang’ untuk melenyapkan golongan pendatang dan saki bakinya dari Bumi Sabah. Ramai sedia maklum bahawa jika di Kota Kinabalu itu sendiri sekali pun setiap kawasan terdapatnya pendatang Filipina. Mereka merajai kawasan bandar itu dengan penuh lagak dan gayanya. Kadang kala terdengar kes-kes yang memberikan ancaman kepada masyarakat setempat.
Oleh itu, diharap supaya kejadian ini dapat menyegar dan menyedarkan pihak kerajaan supaya lebih bersikap berhati-hati dalam menjaga kedaulatan negara. Mendapat kemerdekaan memang mudah, tetapi untuk menjaga kemerdekaan itu cukup sukar. Kita dihambat, diperhati dan ditekan oleh banyak pengaruh, ideologi, krisis dan tingkah laku manusia yang tidak berkesudahan layaknya.
Buatlah secara benar dan sebaik mungkin. Agenda politik dan serangan politik itu adalah biasa sama ada dari pihak yang benar, salah, luar dan dalam. Mana-mana pihak pula jangan pula menjadi bodoh dalam soal keselamatan negara. Benda yang sudah bernanah sudah tentu akan menjadi penyakit. Siapa yang toreh luka itu pun orang sudah tahu. Tetapi sebelum menjadi lebih teruk sehingga perlu dibawa kepada doktor pakar agar pencegahan terlebih dahulu dilakukan, kuatkuasakan undang-undang dengan lebih ketat, perkemaskan ketumbukan ketenteraan dan pastikan tiada kes pendatang yang diberi ‘kad biru’ walhal lagu Negaraku pun dia tidak tahu!
Saya selalu fikir, antara ular dengan orang politik, mana satu yang hendak dihempuk dulu?
CPs:
Bagi CPs jangan persoalkan Kaum Sulu sebab semua kaum ada masalahnya; yang penting siapa Dalangnya. Itu yang perlu dibenci. Sejarah Kesultanan Sulu bukan dongengan malahan di Peta Dunia ada tercatat Laut Sulu; semua tahu penjajah barat memang tak suka Kesultanan Melayu terus tersohor; bak Kesultanan Melaka hanya tinggal nama Melaka & Selat Melaka.
Dalam kes Perang Sulu ini kita pula ikut jejak barat mahu menyahkan kedaulatan Sultan Sulu. naifnya kita kaum Melayu. Jika kita selidiki kaum kerabat kita pun pasti ada kalangan kita darah orang Sulu sebab kita serumpun. Bak kita sentiasa terhibur lakonan Dayang Sulu kenapa mesti mahu berperang. Perangi mereka yang mengganas itu sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan