Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
Menjejakkan kaki ke lokasi penggambaran filem trilogi, Lord of The Rings (LOTR) arahan Peter Jackson di New Zealand menjadi salah satu destinasi wajib jika melawat negara Kiwi itu.
Tidak terkecuali bagi penulis yang memang tidak pernah terlintas di fikiran untuk menyaksikan ‘bandar kecil’ yang dipanggil Hobbiton sempena nama golongan manusia kerdil, Hobbit dalam filem itu.
Apatah lagi, ketika penulis ke sana, filem The Hobbit: An Unexpected Journey belum ditayangkan di Malaysia dan pengalaman itu tidak sia-sia kerana bandar kecil yang dihidupkan dalam filem fiksyen itu dijaga sebagai tempat yang seolah-olah wujud.
Sepanjang perjalanan ke Waikato (Pulau Utara New Zealand) ke Hobbiton, panomaranya memang mencuit hati penulis kerana bukan saja dikelilingi ladang besar yang menghijau, malah kehadiran biri-biri putih seolah-olah sebuah lukisan hidup.
KEHIJAUAN dan persekitaran Hobbiton dijaga rapi bagi mengekalkan suasana perkampungan kaum kerdil Hobbit.
Hobbiton sentiasa menerima kunjungan pelancong dari seluruh dunia dan populariti filem LOTR menyebabkan New Zealand mengekalkannya sebagai bandar sebenar.
Sampai di rumah tumpangan atau tempat berehat yang dikenali The Green Dragon memperlihatkan ruang dan perabot yang agak kecil kerana ia memang digunakan watak utama filem itu, Frodo Baggins bersama rakan-rakannya, Merry dan Pippin.
Ciri-ciri reka bentuk seni Hobbit juga dapat dilihat pada rumah tumpangan itu terutama pintunya yang berbentuk bulat.
Penulis dan dua wakil media dari Malaysia tidak melepaskan peluang duduk di kerusi dan menyentuh semua perabot di rumah itu.
Kami disajikan minuman ‘wajib’ di Hobbiton iaitu Ginger Ale.
Selepas singgah ke The Green Dragon, penulis dibawa mengelilingi bandar kecil itu dan di setiap lorong menempatkan rumah Hobbit yang comel dan dihiasi bunga berwarna-warni yang dibiarkan tumbuh secara semula jadi.
Terdapat 37 rumah Hobbit dibangunkan dan ia dibina dengan rekaan seperti zaman dulu kala menggunakan teknik khas.
Untuk masuk ke rumah Hobbit, penulis dan rakan terpaksa membongkok kerana ia direka bentuk kecil, sesuai dengan golongan kerdil terbabit.
Penulis tidak melepaskan peluang mengambil gambar setiap lokasi yang pernah dilihat dalam filem LOTR termasuk jambatan kecil dan rumah kicir.
Sesiapa yang ke Hobbiton pasti akan teruja dan akan melalui semua tempat yang pernah dipaparkan dalam filem itu.
Bagi penulis, sentuhan Hobbiton sangat menarik dan indah selain panorama indah New Zealand dengan gunung-ganang dan alam semula jadi.
Malah, Bandar Hobbit ini menjadikan New Zealand tumpuan dunia dan kawasan tanah besar terakhir ditemui di dunia.
Pengalaman di Hobbiton, Bandar Rotorua dan Auckland meninggalkan memori indah kepada penulis.
Mengelilingi bandar Auckland, kami menggunakan motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson ke Pulau Waiheke tempat terletaknya ladang pengeluar minyak zaitun dan Pantai Onetangi yang hamparan pasir putih halus.
Dan, makan malam di Restoran Berpusing Orbit, Menara Awan (Sky Tower) sambil menyaksikan pemandangan waktu senja di ibu bandar New Zealand itu antara aktiviti yang pasti tidak akan dilupakan.
Di bandar Auckland, penulis mengalami kejadian empat musim dalam tempoh satu masa iaitu musim sejuk dan selang beberapa saat cuaca cerah dan panas, hujan dan angin kuat.
Bagi pelancong asing, ia mungkin sesuatu yang pelik tetapi bagi penduduk New Zealand ia fenomena yang biasa.
Malah, jarang sekali penduduk di Auckland membawa payung kerana hujan hanya turun untuk tempoh beberapa minit.
Bagi pengunjung yang ingin merasai pengalaman penuh bermakna di perkampungan unik itu, pakej ke bandar Hobbiton bermula serendah NZ$75 (RM189) bagi dewasa.
Layari laman web, www.hobbitontours.com atau www.newzealand.com untuk maklumat lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan