KEDAMAIAN desa dengan kicauan burung yang merdu serta kehijauan alam semula jadi bagaikan satu terapi minda yang cukup menyenangkan.
Keramahan dan kemesraan keluarga angkat yang menyambut ketibaan persis keluarga sendiri sekali gus membuatkan kita seperti pulang ke kampung sendiri.
Itulah antara pengalaman penulis ketika menginap di Homestay Kampung Sri Paya, Kulai Jaya, Johor, baru-baru ini.
Didaftarkan pada 2009 dengan menawarkan 29 rumah inap desa, Homestay Kampung Sri Paya adalah satu daripada 15 inap desa yang ada di Johor.
Menginap di kampung yang permai itu, ia menjanjikan 1,001 suasana kampung yang mendamaikan selain pengalaman tinggal bersama keluarga angkat yang ramah.
Lebih menarik, penduduk di kampung ini juga adalah berbilang kaum iaitu Jawa, Melayu, Bugis dan Banjar. Justeru, pasti suasana dan cara hidup mereka adalah unik dan lain dari yang lain.
Penyelaras Homestay Kampung Seri Paya, Ahmad Mohamad berkata, keunikan homestay itu adalah kehidupan penduduknya yang berbilang kaum dan kedudukannya di pinggir bandar.
Selain itu, katanya, dengan kepelbagaian latar belakang dan aktiviti harian penduduk, ia memberi peluang pengunjung menimba pengalaman yang sukar ditemui di tempat lain.
“Kebanyakan penduduk kampung masih mengamalkan tradisi masing-masing terutama dari segi percakapan selain bekerja sendiri seperti peladang sawit, petani, penternak dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
“Justeru, dengan kepelbagaian pekerjaan dan tradisi yang ada, pengunjung dapat merasai gaya hidup keluarga angkat termasuk rutin harian selain berpeluang pergi ke kebun dan melakukan aktiviti lain bersama,” katanya.
Selain mendekati kehidupan seharian keluarga angkat, pengunjung berpeluang berkunjung ke rumah penduduk kampung yang mengusahakan IKS.
Pembabitan penduduk dalam IKS termasuklah mengusahakan mi siput, tempe, cendawan dan pengusaha kraftangan.
Perusahaan ubi rempeyek, cakar ayam dan yang terbaru dan tidak didapati di mana-mana homestay ialah kuih Megan iaitu salah satu kuih tradisional Bugis.
Selain aktiviti ini, terbaru katanya aktiviti berbasikal diperkenalkan untuk membawa pengunjung melihat persekitaran kampung melalui laluan kampung dengan pelbagai laluan lain yang mencabar.
Satu lagi keunikan yang pastinya memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung ialah merasai sendiri keenakan nasi ambeng iaitu hidangan paling popular di Homestay Kampung Sri Paya ini.
Nasi ambeng adalah hidangan tradisional masyarakat Jawa yang biasanya disajikan apabila ada kenduri. Nasi yang dihidangkan di dalam talam dan dinikmati bersama antara empat hingga lima orang ini dikatakan dapat mengeratkan hubungan silaraturahim.
Di sebelah makam, selain menghabiskan masa bersama keluarga angkat, persembahan kebudayaan seperti tarian zapin dan kuda kepang turut diadakan di dewan serba guna yang pastinya cukup menghiburkan.
Aktiviti malam yang pastinya tidak dapat dilihat di mana-mana inap desa dan hanya di Homestay Kampung Sri Paya adalah aktiviti mendekut burung.
Mendekut burung adalah salah satu kaedah tradisional untuk menangkap burung oleh orang dulu yang dilakukan di sebelah malam.
Menerusi aktiviti yang unik ini, pengunjung dapat melihat bagaimana cara memanggil burung wak-wak yang biasanya banyak berterbangan di waktu malam.
Selain aktiviti desa, pengunjung yang menginap di homestay yang unik ini boleh juga berkunjung ke tarikan pelancongan terbaru di negeri Johor ini iaitu Legoland Malaysia, Hello Ketty dan lokasi membeli-belah terkemuka Johor Premium Outlets (JPO) yang hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit dari kampung Sri Paya.
Mahu pengalaman bercuti di desa yang indah permai dan menyediakan pelbagai aktiviti menyeronokkan serta pengalaman yang cukup bermakna, menginap di Homestay Kampung Sri Paya adalah pilihan bijak dan tidak akan mengecewakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan