Belasungkawa: Reda pemergian Azizah
Rahman dan anaknya, Khir di pusara Azizah.
A Rahman sayu kenang hasrat isteri rakam lagu tidak kesampaian
Tanggal
26 April kira-kira jam 11.26 malam, penyanyi irama Pop Yeh Yeh, Datin
Azizah Mohamad menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur
(HKL) akibat kanser pangkal rahim tahap akhir yang dihidapinya sejak
setahun lalu, selain penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Allahyarhamah meninggal dunia di sisi suaminya, penyanyi veteran, Datuk A Rahman Hassan dan ahli keluarga lain.
Pastinya pemergian itu meninggalkan kesan mendalam buat penyanyi yang cukup terkenal menerusi lagu Tak Mengapa ini.
Namun begitu, walau pasrah dan reda dengan pemergian Azizah, Rahman
tidak akan melupakan setiap detik mahligai yang dibina selama 44 tahun
bersama insan yang dicintainya.
Bekas Presiden Persatuan
Penyanyi Penyanyi Tanah Air (PAPITA) ini juga bulatkan hati merestui
perpisahan buat selama-lamanya itu.
Biar sukar untuk melepaskan
insan yang sekian lama bertakhta di hati, kepayahan itu tetap ditelan
demi meneruskan kelangsungan hidup. Mengakui takdir sudah memisahkan
mereka, tetapi masih ada sisa hasrat yang berbaki sukar untuk
dilupakannya. Masakan tidak, hajat isterinya untuk merakamkan lagu
mengikut cita rasanya tidak terlaksana.
Mengenang kembali hasrat terpendam itu, hatinya menjadi sayu sehingga menitiskan air mata.
"Sudah lama dia menyuarakan hasrat itu pada saya, sehingga kini saya
tak boleh lupa. Dia nak sangat rakam lagu mengikut seleranya. Apapun,
saya bersyukur dengan pemergiannya sebab dia tidak perlu lama menderita
akibat penyakit yang ditanggung.
"Malah, hasratnya untuk melihat anak bongsunya kahwin juga tidak kesampaian," katanya.
Hormat suami, jaga keluarga
Mengimbau
kembali detik bersama, Rahman menyifatkan isterinya seorang yang baik
dan amat menghormatinya sebagai suami dan ketua, serta menjaga keluarga
dengan sebaik-baiknya.
Kasih-sayang pasangan ini jelas kelihatan
apabila sering dilihat bersama di mana--mana acara. Kini, semuanya
hanya tinggal kenangan. Bahkan, hasratnya untuk membawa isteri bercuti
selepas pulih daripada sakit, hanya tinggal harapan.
"Saya
kasihan tengok dia bekerja keras menguruskan keluarga dan kerjaya. Jadi,
saya berhasrat nak bawa dia keluar berehat, tetapi tidak kesampaian.
"Dia sangat amanah dan menjaga harta benda saya. Pemergiannya memang
kehilangan besar pada saya, setelah lama bersama," katanya.
Hilang separuh jiwa
Bagaikan
kehilangan separuh dirinya, Rahman akan cuba mengharungi kehidupan
tanpa insan yang dikenalinya sejak menganggotai kumpulan pop yeh yeh
pada era 60an, Orkes Nirwana.
Baginya, Azizah tiada galang
ganti kerana perwatakannya yang disenangi semua orang - baik hati,
peramah, penyayang dan mudah mengukir senyuman.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, selepas solat Zohor, kelmarin.
Ketika hayatnya masih ada, Azizah seorang artis yang cukup aktif
berpersatuan dan melakukan kerja amal. Selain menyanyi, dia juga
mengetuai Kumpulan Kawan (Kumpulan Artis Wanita), sebuah kumpulan
marhaban yang disertai beberapa artis veteran lain. Allahyarhamah juga
pernah merakamkan tiga EP solo dan popular menerusi lagu Syurga Idaman,
Pergilah Kandaku dan Dikaulah Harapanku.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan