Bagan Datoh: Kerajaan tidak bercadang mendedahkan nama tiga pemimpin pembangkang yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dalam waktu terdekat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara yang akan melakukan siasatan terperinci dan diselesaikan mengikut perspektif undang-undang.
“Kemudian baru kes ini akan dibawa ke mahkamah untuk melakukan pendakwaan terhadap mereka yang terbabit,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan rumah ke rumah di Perkampungan Nelayan Sungai Tiang di sini, malam kelmarin.


Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, N Surendran yang mendesaknya mendedahkan nama tiga pemimpin pembangkang yang didakwa menjadi dalang dalam insiden Lahad Datu, Februari lalu.

Surendran dilaporkan berkata, jika Ahmad Zahid gagal mengemukakan nama berkenaan dalam tempoh 24 jam, ia jelas menunjukkan ‘fitnah’ yang dimainkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).