Translate

Bantu

Sila Ketik sini untuk bantu Blog ini

Sabtu, 29 Jun 2013

Pasukan belanja mewah lebih tertekan: Hodak

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih Kelantan Bojan Hodak seperti mahu menambah bahang kehangatan final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini dengan menyatakan Johor Darul Takzim (DT) yang berbelanja mewah musim ini lebih tertekan dalam merebut kejuaraan itu.

“Kami tidak tertekan, tekanan pasti kepada pasukan yang berbelanja besar. Johor DT lebih tertekan kerana mereka perlu menang sesuatu musim ini,” kata pengendali kelahiran Croatia itu sebelum sesi latihan rasmi semalam.

Kata-kata Hodak itu juga mungkin bakal memanaskan lagi persengketaan selepas Johor DT yang dilabel sebagai Manchester City Malaysia kerana membuat pelaburan besar membentuk pasukan berjaya memancing dua ayam tambatan Kelantan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Nurul Azwan Roya.
Namun Hodak sebenarnya tidak boleh menolak kenyataan bahawa kejuaraan Piala FA ini amat penting untuk dipertahankan bagi menempah slot ke Piala AFC musim depan selepas mereka terlepas gelaran Liga Super yang dimenangi tahun lalu.

Dan bagi merealisasikan impian, beliau tahu apa yang perlu dilakukan anak buahnya untuk memerangkap pasukan Harimau Selatan yang dibimbing Fandi Ahmad.

“Saya tahu kelemahan Johor DT dan saya sudah bersedia dengan strategi terbaik, tapi apa yang akan kami lakukan esok (hari ini), saya tidak boleh dedahkan,” katanya yang menyaksikan pasukannya menewaskan Sime Darby 1-0 di pentas final tahun lalu.

Bagaimanapun rekod pertemuan Kelantan dan Johor DT tahun ini tidak memihak kepada mereka apabila hanya seri 1-1 di Kota Bharu sebelum tumpas 0-2 di Johor Baharu pada aksi Liga Super.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan