Translate

Bantu

Sila Ketik sini untuk bantu Blog ini

Jumaat, 21 Jun 2013

'Lebih banyak bilik gerakan jerebu di daerah terlibat'


 
Kementerian Kesihatan akan menambah lebih banyak bilik gerakan jerebu di semua daerah yang terlibat, terutama di Johor, dengan kelengkapan perubatan mencukupi.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata tindakan itu diambil berikutan tahap jerebu di beberapa daerah di Johor kini berada pada paras bahaya malah pemantauan yang lebih rapi akan dilaksanakan segera.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menjalankan sebarang aktiviti di luar rumah kecuali terpaksa bagi mengelak penyakit berkaitan jerebu meningkat.

"Klinik-Klinik juga diminta agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan orang ramai, terutama kanak-kanak, orang tua dan pesakit asma dinasihat agar tidak berada di luar rumah tanpa sebab.

"Paling penting, jangan buat pembakaran terbuka kerana ia hanya akan memburukkan keadaan semasa," katanya kepada pemberita di ibu negara semalam.

Beliau turut menyarankan jika ada mana-mana individu berasa pedih mata, sakit tekak, batuk atau susah bernafas, segera ke klinik berhampiran untuk rawatan awal bagi mengelak berlaku komplikasi yang lebih teruk.

Subramaniam berkata kementeriannya sudah bersedia berhadapan situasi sedemikian berikutan tahap bacaan jerebu di Muar dan Kota Tinggi semakin meningkat.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat malam tadi, pihaknya belum menerima laporan penyakit berkaitan jerebu.

Subramaniam juga tidak menolak kemungkinan kes sedemikian akan diterima di daerah terbabit dalam jangka masa terdekat kerana tahap jerebu dilihat semakin buruk.

Indeks pencemaran udara sehingga pukul 5 petang menunjukkan Pasir Gudang mencapai tahap bahaya diikuti Kota Tinggi malam tadi.

Pada sebelah pagi, tahap pencemaran udara di Muar mencapai tahap bahaya.

-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan