Kualiti udara di Kota Tinggi kini pada paras berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatat pagi ini ialah 313 berbanding 291 semalam.
Catatan sehingga pukul 7 pagi ini juga menunjukkan udara di Pasir Gudang kekal pada paras berbahaya, walaupun bacaan IPU di kawasan itu turun dari 333 kepada 310, kata laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Satu lagi kawasan iaitu Muar yang mencatat bacaan IPU berbahaya semalam  telah keluar daripada paras berbahaya hari ini setelah mencatat IPU 183 berbanding 383 semalam.

Selain Muar, beberapa kawasan lain masih mencatat bacaan tinggi melebihi paras tidak sihat (bacaan IPU 100 hingga 200) iaitu Larkin Lama, Johor (190); Bandaraya Melaka (192); Bukit Rambai, Melaka (164); Port Dickson (157); Seremban (105); dan Banting, Selangor (137).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani dalam program 'Malaysia Hari Ini' TV3 pagi ini memaklumkan bahawa 589 sekolah di Muar, Batu Pahat, Pasir Gudang dan Pontian diarah tutup sehingga makluman lanjut diberitahu.

Sekolah di Muar dan Batu Pahat ditutup sejak semalam.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) pula memaklumkan jumlah kes pesakit akibat jerebu di negeri itu terutama masalah Upper Respiratory Tract (URTI) meningkat sebanyak 21 peratus minggu ini berbanding minggu sebelumnya.

Jabatan itu dalam kenyataan di sini berkata jumlah itu berdasarkan peningkatan bilangan pesakit luar yang mendapatkan rawatan di klinik kerajaan di negeri itu. Bagaimanapun bilangan pesakit tidak dinyatakan.

Tanpa menyatakan bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan, jabatan itu berkata golongan yang terlibat ialah dalam lingkungan umur 13 hingga 59 tahun dan melibatkan penyakit asma dan konjunktivitis.

"Trend penyakit ini dijangka akan meningkat lagi jika paras jerebu kekal pada tahap yang tidak sihat," kata jabatan itu.

Sementara itu, orang ramai terutama golongan berisiko tinggi (kanak-kanak, orang tua dan yang berpenyakit) dinasihat supaya menghadkan aktiviti di luar rumah, manakala mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat yang berhabuk dinasihat sentiasa menggunakan mask atau penutup hidung serta perlu sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih.

Golongan perokok pula dinasihat berhenti merokok.

Mereka yang menggunakan kenderaan berhawa dingin hendaklah menghidupkan alat pendingin hawa dengan kitaran dalam, menutup semua tingkap dan meminum banyak air, kata jabatan itu.

Sementara itu di JOHOR BAHARU, Pengarah Pelajaran Johor Mohd Nor A Ghani berkata seramai 71,097 pelajar dari 195 sekolah di daerah Kota Tinggi dan Pontian, ditutup selepas bacaan IPU melebihi paras bahaya.

Beliau berkata terdapat 97 sekolah rendah dan menengah melibatkan 37,108 pelajar di Kota Tinggi, manakala 98 sekolah rendah dan menengah melibatkan 33,989 pelajar di Pontian.

Jabatan itu juga sedang memantau keadaan di daerah-daerah lain di negeri ini, katanya pada Bernama di Johor Baharu hari ini.

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor Muhammad Razif Ahmad dalam kenyataan berkata operasi di pelabuhan Johor, Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas berjalan seperti biasa.

Beliau berkata pihaknya mengambil langkah keselamatan termasuk memantau persekitaran pelabuhan, pemakaian topeng penutup hidung dan mulut serta mematuhi arahan keselamatan daripada agensi-agensi berkaitan.

-Bernama