15 Mei 2013
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, pemilik rumah berkenaan, Zaleha Musa, 50, terkejut apabila melihat sebuah motosikal Modenas Kriss berada di dalam kawasan rumahnya.
Menurutnya, dia menggunakan kunci yang ada dalam simpanannya untuk masuk ke dalam rumah dan mendapati banyak barang berselerak di ruang tamu selain terdapat beg pakaian serta parang panjang.
"Saya periksa di segenap sudut rumah dan turut terkejut melihat bumbung siling rumah sudah pecah namun pintu hadapan masih lagi berkunci.
"Malah lebih mengejutkan apabila saya menemui bil elektrik tertunggak berjumlah RM1,607 dan bil air sebanyak RM500 serta bil elektrik milik rumah lain," katanya.
Zaleha berkata, kali terakhir dia meninjau rumahnya itu pada April tahun lalu dalam keadaan lengkap berperabot dan kelengkapan rumah lain selain memasang kunci baru.
"Saya bimbang rumah saya itu disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab dan besar kemungkinan ia disewa kepada individu lain tanpa pengetahuan saya.
"Lebih mencurigakan apabila saya lihat persekitaran rumah kotor dan berselerak menguatkan lagi jangkaan rumah saya menjadi lokasi penjenayah," katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi berkata, berikutan kejadian itu polis menahan dua lelaki dalam kes ini bagi membantu siasatan.
Menurutnya, pemeriksaan polis di rumah berkenaan menemui dokumen seperti pasport milik warga Indonesia dan slip pemutihan disyaki penghuni kediaman berkenaan.
"Hasil maklumat itu, polis menahan seorang warga Indonesia dan seorang lagi warga tempatan berusia lingkungan awal 30-an bagi membantu siasatan.
"Kedua-dua suspek dipercayai menghuni vila berkenaan dan direman empat hari sehingga 16 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan," katanya.
Jurucakap pusat peranginan berkenaan pula berkata, pihaknya tidak akan membuat pemeriksaan atau pemantauan ke atas rumah persendirian di dalam kawasan berkenaan.
“Mana-mana pemilik rumah persendirian dalam kawasan ini perlu memaklumkan kepada pihak resort mengenai status rumah yang ditinggalkan supaya tidak berlaku pencerobohan.
“Pihak resort tidak akan bertanggungjawab atas kehilangan harta benda persendirian melainkan ia dimaklumkan kepada pihak resort terlebih dahulu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan