sitizarinah@hmetro.com.my
RAMAI menganggap coklat dan pencuci mulut sebagai musuh paling ketat kerana mengandungi kandungan gula yang tinggi sedangkan badan seseorang mampu mendapat gula daripada jenis makanan lain seperti roti, nasi dan buah-buahan.
Oleh itu, sangkaan pesakit diabetes tidak boleh menikmati makanan manis seperti bubur, kek atau kuih-muih tidak benar kerana sebenarnya mereka hanya perlu memilih hidangan dengan berhati-hati.
Menyedari keinginan pesakit diabetes untuk menikmati makanan enak seperti individu lain, MSD dan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) melancarkan buku resipi Raikan - Buku Masakan Pencuci Mulut yang mengandungi 12 resipi pencuci mulut Melayu, Cina, India dan Barat yang diubah suai untuk pesakit diabetes.
Buku resipi pencuci mulut berkenaan adalah sebahagian usaha MSD bagi menggalakkan pesakit diabetes menikmati hidup sihat sepenuhnya. Buku pertama dalam siri Raikan - Buku Masakan Gaya Hidup mengandungi 12 resipi Malaysia dan antarabangsa berdasarkan pelbagai perayaan di Malaysia.
Menurut Pengarah Perubatan MSD, Dr Yeoh Boon Hock, sudah bertahun MSD bekerjasama dengan PDM untuk mendidik masyarakat mengenai senaman dan kepentingan mengambil makanan sihat.
“Ramai menyangka makanan berkhasiat tidak menyelerakan, tetapi sebenarnya tidak. Penghidap diabetes boleh menikmati semua makanan asalkan mengetahui kandungan gula di dalam makanan. Sebagai menghargai mereka, kami menerbitkan buku masakan yang menyediakan pelbagai pilihan resipi lazat dan berkhasiat untuk seisi keluarga,” katanya.
Untuk buku masakan kedua, chef selebriti Amy Beh bersama pakar nutrisi Madhavi Rai menyediakan 12 resipi enak hidangan pencuci mulut yang mudah dimasak.
Setiap resipi membuka mata pesakit diabetes mengenai hidangan terbaik untuk mereka yang setiap satunya mengandungi empat kunci utama nutrien dalam kitaran pemakanan iaitu vitamin, mineral, protein dan serat.
“Sebagai tukang masak, kami mahu orang ramai menikmati makanan disediakan.
Kepuasan bagi seorang chef apabila melihat orang ramai menikmati hidangan dengan gembira.
“Justeru, saya bertekad menyahut cabaran menyediakan pencuci mulut yang mungkin masih manis, namun sesuai untuk mereka yang menjaga paras gula dalam darah mereka,” ujarnya.
Bagi Madhavi, selain menjaga pemakanan dengan mengambil makanan kurang karbohidrat dan tinggi protein, penghidap diabetes seharusnya menjalani gaya hidup aktif dengan bersenam setiap hari. Tidak hanya dengan mengunjungi gimnasium, senaman boleh dilakukan di mana saja.
“Ramai beranggapan bersenam hanya boleh dilakukan di tempat tertentu seperti gimnasium atau padang, tetapi sebenarnya tidak. Hanya dengan menggerakkan otot seperti berjalan setempat, turun naik tangga dan tekan tubi mampu, ia memberikan kesan sekiranya dilakukan secara berkala,” ujarnya.
Bagi Penolong Setiausaha Agung PDM, KS Maniam, daripada Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan keempat 2011, diabetes lebih tinggi di kawasan luar bandar berbanding bandar dan terdapat peningkatan kes sebanyak 31 peratus sejak lima tahun lalu.
“Peningkatan pesakit diabetes di luar bandar mungkin disebabkan peningkatan mendadak kes diabetes yang tidak dapat dikesan. Oleh sebab itu, pentingnya rakyat Malaysia menjaga pemakanan supaya mereka boleh meneruskan hidup yang sihat,” katanya.
Sebanyak 5,000 naskhah Raikan-Buku Masakan Pencuci Mulut boleh didapati di semua pusat PDM, farmasi, klinik serta pusat diabetes dan perubatan seluruh Malaysia. Untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman sesawang www.diabetes.
org.my.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan