Translate

Bantu

Sila Ketik sini untuk bantu Blog ini

Rabu, 21 November 2012

Ghaib ketika berjalan

 Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my

KUANTAN: “Saya hairan bagaimana anak saya boleh hilang sedangkan dia berjalan di tengah-tengah antara kami lima beranak. Sebelum itu saya lihat dia begitu ceria berlari-lari bersama dua beradiknya yang lain.
“Sebaik menyedari kehilangannya, hati saya terus terdetik sesuatu yang buruk menimpanya dan cuba mencari di kawasan sekeliling namun gagal,” kata Chan Tah Jek, 45, bapa kepada murid tahun tiga yang ditemui mati dalam sebuah lubuk di kawasan perkelahan Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing, dekat sini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari kelmarin, Chan Pek Sheng, 9, hilang ketika dia bersama empat ahli keluarganya dan empat sanak saudara lain dalam perjalanan turun dari kawasan perkelahan itu.
Bagaimanapun, mayat kanak-kanak itu hanya ditemui jam 1.30 tengah hari semalam oleh pasukan mencari dan menyelamat membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan dibantu penduduk kampung berhampiran.

Tah Jek berkata, mereka pergi ke kawasan air terjun berkenaan pada jam 6.40 pagi kelmarin kerana tertarik dengan kisah keindahan pelangi selain mahu membawa tiga anaknya berseronok sempena cuti sekolah.

Katanya, sebelum kehilangan anak bongsunya itu disedari, dia melihat mangsa bergelak ketawa bersama dua beradiknya yang lain, namun tidak menyangka itu kali terakhir dia melihat anaknya.
“Salah seorang anak memaklumkan Pek Sheng berjalan bersama saya sedangkan saya langsung tidak melihatnya ketika itu.

“Saya hanya mampu berdoa agar Pek Sheng dijumpai dengan selamat walaupun saya tahu harapan itu agak tipis. Saya tidak sangka keseronokan kami berakhir dengan kejadian sedih ini,” katanya yang tinggal di Kluang, Johor.
Tah Jek membuat laporan kehilangan anaknya itu di Balai Polis Sungai Lembing sebelum gerakan mencari dan menyelamat dimulakan jam 2 petang kelmarin. Bagaimanapun, operasi dihentikan jam 6 petang berikutan cuaca gelap.

Sementara itu, Penguasa Kanan 1 Bomba di sini, Zulfahmi Sutaji berkata, mayat mangsa ditemui dalam sebuah lubuk oleh penduduk kampung kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi kali terakhir mangsa dilihat.

“Selepas mendapat maklumat dari penduduk tempatan, anggota saya terus menyelam ke lubuk berkenaan dan menjumpai mayat mangsa di dasar lubuk itu dan dibawa keluar.

“Punca kejadian masih lagi disiasat dan tidak menolak kemungkinan mangsa tergelincir ke dalam lubuk berkenaan sebelum lemas,” katanya ketika di temui di Balai Polis Sungai Lembing selepas operasi berkenaan dihentikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, semakan mendapati keluarga itu tidak memaklumkan kepada mana-mana pihak berkuasa sebelum memasuki kawasan air terjun berkenaan.

“Kejadian ini boleh dielak jika mana-mana pihak yang ingin memasuki kawasan rekreasi bagi berkelah atau berkhemah memaklumkan terlebih dulu kepada pihak berkuasa. Ini bagi memudahkan kami merekodkan setiap butiran dan memberikan nasihat kepada mereka untuk tujuan keselamatan.

“Selain itu, kawasan rekreasi juga perlu dilengkapi papan tanda amaran mencukupi bagi memberi maklumat kepada pengunjung di samping menyediakan kemudahan yang mencukupi untuk keselesaan pengunjung,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan