Translate

Bantu

Sila Ketik sini untuk bantu Blog ini

Ahad, 25 November 2012

Dibaham Singa

PUAS...pemain Singapura gembira selepas menewaskan Malaysia.

Oleh Aziman Rosdi dan Azlan Muhammad Zain
sukan@hmetro.com.my

PUAS...pemain Singapura gembira selepas menewaskan Malaysia. 
 
SORAKAN penyokong jitu skuad negara, Ultras Malaya - ‘Rajagobal apa kau buat?’ ketika di penghujung perlawanan Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, menceritakan segala-galanya.

Apa tidaknya, skuad Harimau Malaya memilih jalan berliku dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF apabila mudah ditundukkan Singapura 3-0 pada aksi pertama Kumpulan B dengan kapten Singapura, Mohamad Shahril Ishak mendedahkan kepincangan skuad kebangsaan yang kerap dipertahankan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal sebelum ini, apabila meledak dua gol sebelum pemain veteran, Aleksandar Duric melengkapkan kemenangan juara tiga kali itu.

Adakah kekalahan di tangan skuad kendalian Radojko Avramovic ini masih tidak boleh diambil kira kerana Malaysia juga tewas 5-1 kepada Indonesia pada aksi pertama dua tahun lalu sebelum muncul juara, tapi apa yang pasti untuk menang baki dua perlawanan kumpulan menentang Laos dan Indonesia selepas ini bukan mudah, biarpun ia tidak mustahil.

Dalam aksi menentang musuh tradisi Singapura itu, pengalaman sembilan pemain skuad juara 2010 menjadi taruhan Rajagobal dalam kesebelasan utama selain tiga pertahanan baru, Mohd Azmi Muslim, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mohd Bunyamin Umar diberi kepercayaan kali ini.

Dengan sokongan lebih 40,000 penyokong tempatan, Harimau Malaya bermula baik dengan serangan awal menerusi penyerang, Norshahrul Idlan Talaha yang membuat larian di sebelah kanan untuk menggelecek dua pemain Singapura namun sepakannya berjaya diselamatkan penjaga gol, Mohamad Izwan Mahbud.

Namun aksi panas anak buah Rajagobal yang menewaskan Singapura 2-0 pada pertemuan terakhir Jun lalu dalam aksi persahabatan hanyalah seketika.

Selepas aksi hambar lebih setengah jam, skuad kebangsaan kemudian tergamam dengan dua gol pantas kapten skuad Singa, Shahril dalam tempoh enam minit.

Hantaran Shahdan Sulaiman berjaya dikawal baik pemain tengah LionsXII itu yang melepasi kawalan Azmi dalam kotak penalti sebelum meledak gol pertama pada minit ke-32 menewaskan penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat.

Empat minit kemudian, Khairul Fahmi melakukan kesilapan apabila tertampan bola sepakan percuma Shahdan ke belakang dan biarpun cuba dikeluarkan Mohd Fadhli Shas di atas garisan gol, Shahril pantas menanduk untuk gol kedua Singapura.

Kemasukan dua pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mahali Jasuli menggantikan Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan Azmi memberikan sedikit kebangkitan, namun kekeringan idea untuk menembusi benteng Singapura yang ampuh bertahan.

Hanya satu serangan bahaya berjaya dilakukan, namun hantaran lintang Mahali dari sebelah kanan pantas diselamatkan Mohamad Izwan ketika penyerang negara Mohd Safee Sali dalam posisi terbaik untuk menolak masuk bola ke dalam gawang.

Duric yang berusia 42 tahun membuktikan kenapa pengalamannya begitu berharga buat Avramovic dengan menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke-75, hanya dua minit berada di atas padang selepas menggantikan Shahril.

Kemenangan 3-0 ke atas tuan rumah memberikan kelegaan buat Singapura sebelum berdepan Thailand manakala Harimau Malaya perlu bangkit menentang Laos pada Rabu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan