Wanita masa kini dapat kita lihat mampu melakukan kerja-kerja setaraf dengan golongan lelaki hingga ada segelintir mereka merasakan diri cukup hebat dan sempurna.
Namun dalam kesempurnaan yang dirasakan, mereka terlupa kekurangan yang dimiliki boleh memberi kesan besar dalam kehidupan terutama bagi wanita yang sudah berkahwin.
Apabila pasangan sibuk dengan kerja pastinya masing-masing tidak mempunyai masa untuk bersama yang kadang kala membuatkan suami rasa terasing dan mula mencari wanita lain untuk meluahkan rasa.
Dalam usaha memperbaiki kelemahan itu ada wanita yang terlupa bahawa apa yang diinginkan suami sebenarnya adalah belaian dan tanggungjawab dalam menguruskan rumah tangga dan bukan hanya kepentingan diri semata-mata.
Inilah yang dipaparkan dalam telemovie Pujaan Hati terbitan OVM Holdings Sdn Bhd iaitu kelemahan seorang isteri yang harus diperbaiki dan dijadikan tatapan masyarakat seperti yang kerap terjadi dalam kehidupan seharian kala ini.
Walaupun kisah ini tidak berniat menyalahkan sesiapa namun ia memberi manfaat kepada pasangan yang baru atau sudah berkahwin dalam menyelesaikan masalah rumah tangga yang berlaku.
Telemovie yang akan disiarkan di saluran TV AlHijrah pada 1 Februari ini, biarpun kelihatan biasa saja jalan ceritanya tetapi penyampaiannya pasti memberi kesan mendalam dan perlu dijadikan iktibar dalam mempertahankan keharmonian rumah tangga.
Dibintangi pelakon seperti Dira Abu Zahar, Sharifah Shahira dan Eja, Pujaan Hati mengisahkan masalah rumah tangga yang dialami oleh Maria dan Kartini yang merasakan kelemahan diri akibat rupa paras yang semakin tidak berseri di samping fizikal sudah tidak menarik lagi menyebabkan rumah tangga mereka tidak aman.
Dalam usaha merealisasikan impian masing-masing untuk memikat hati suami, mereka turut tercabar dengan kehadiran seorang wanita iaitu Aisya, yang menjadi kegilaan suami masing-masing.
Walaupun Aisya tidak mempunyai kemewahan seperti mereka, masing-masing tercari apakah keistimewaan yang dimiliki oleh wanita berkenaan sehingga dia dilayan seperti permaisuri sedangkan mereka tidak.
Bermulalah konflik di antara mereka bertiga sehinggalah akhirnya Maria dan Kartini akur bahawa Aisya memang seorang wanita yang istimewa kerana begitu bijak menggunakan peranan diri dengan menyatakan kebahagiaan rumah tangga bermula daripada hati dan bukan kebendaan semata-mata.
Selain itu, isteri perlulah sentiasa bertolak ansur dan berkongsi idea dan minat dengan suami. Paling utama Aisya menyatakan segala perkara yang hendak dilakukan perlulah mengutamakan suami terlebih dulu.
Jangan menyimpan perasaan syak wasangka kepada suami. Biarpun Maria dan Kartini merasakan apa yang diberitahu oleh Aisya adalah perkara biasa lantas Aisya menegaskan perkara biasa itulah yang jarang dan mula diabaikan oleh seorang isteri disebabkan perasaan ego yang mengekang semuanya dari terlaksana.
Sejak itu, masing-masing berazam untuk berubah dan mengakui kebenaran kata-kata Aisya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan