19 December 2012 @ 6:31PM
Sejak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1993 hinggalah sekarang, namanya tidak pernah gagal dicalonkan. Meskipun acap kali dirinya pulang dengan tangan kosong, namun disenaraikan sebagai finalis sudah cukup membanggakan pengacara, pelakon dan penyampai radio ini.
Bergelar antara personaliti yang paling kerap dan paling lama dicalonkan sebagai finalis ABPBH, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 40, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Engku bersyukur kerana sehingga ke hari ini, popularitinya dalam bidang seni agak terjamin.
Lebih membuatkan dirinya terharu, dia pernah dicalonkan dalam pelbagai kategori, daripada Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon Pembantu Filem Wanita Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Pengacara TV Wanita Popular hinggalah kepada kategori Penyampai Radio Wanita Popular.
Bukan sekadar itu, Kak Engku juga sudah lapan tahun menghulurkan khidmatnya sebagai pengacara ABPBH. Bersilih ganti pasangan, Kak Engku pernah digandingkan dengan Anita Sarawak, Rosyam Nor, Fauziah Ahmad Daud, Sharifah Shahira, Zizan Razak dan Didie Alias.
“Kalau nak bercerita soal pasangan yang pernah digandingkan dengan saya, semuanya kelakar dan seronok bekerjasama dengan mereka. Yang paling lawak ialah Shira. Dia suka menggelabah di belakang pentas. Kali pertama mengacarakan ABPBH, dia lupa dialog, sampaikan saya pun turut berdebar.
“Kalau nak cakap pasal Kak Ogy pula, dia seorang yang mementingkan kesempurnaan. Dengannya, kami kena berlatih banyak kali, sama seperti Kak Nita. Dengan Kak Nita, kita tak boleh tukar dialog. Kalau nak tukar juga, kena beritahu dia dulu. Dengan dia, selepas habis sesi raptai pun, kami akan berlatih di bilik.
“Tapi, ketika mengacarakan ABPBH 2011, saya tidak sempat untuk mengenali Zizan dan Didie sebab saya tidak banyak digandingkan bersama mereka sebelum ini,” kata pemenang Pelakon TV Wanita Popular ABPBH 1993 ini.
Selepas lapan tahun tidak mememegang trofi ABPBH, Kak Engku berjaya mengungguli kategori Pengacara TV Wanita Popular pada edisi 2002,mdiikuti edisi 2004.
Calon pelbagai kategori
Meskipun dirinya tidak kerap membawa pulang trofi daripada acara terbabit, Kak Engku mengaku dia sudah cukup bangga apabila dicalonkan sebagai finalis.
“Tiada finalis lain yang paling lama, selain saya. Lihat saja finalis yang turut bersaing dengan saya dulu seperti Fauziah Nawi, Vanidah Imran dan ramai lagi. Berbanding mereka, sampai sekarang saya masih dicalonkan pada ABPBH. Sayalah orang yang paling tua dalam ABPBH.
“Memang itulah antara kenangan yang saya tidak dapat lupakan dan pada masa sama, saya bersyukur kerana masih diminati ramai hingga ke hari ini. Malah, saya tidak sangka akan kekal bertahan dan diminati sampai ke saat ini,” ujar Kak Engku.
Menurutnya, paling menyeronokkan buatnya tentulah apabila dia menang buat kali pertama pada ABPBH 1993.
“Saya pernah rasa dicalonkan dalam semua kategori, kecuali kategori penyanyi. Tapi tahun ini, saya tidak pasti, sebab walaupun muka kita ‘bersepah’, belum tentu kita boleh menang.
“Dulu lain, bila kita tengok artis itu asyik muncul di TV, kita akan dapat tahu artis terbabit boleh menang. Tapi sekarang agak berbeza apabila kita tak boleh nak agak siapa yang menang. Seperti ada yang undi diri sendiri. Orang yang kita tak sangka menang pun boleh menang.
“Kalau kita nak menang, biarlah ia daripada undian peminat. Jadi apabila menang, kita dapat rasa keikhlasan itu,” tambahnya yang terkejut dapat mengalahkan Datin Seri NormalamSamsudin dalam kategori Pengacara TV Wanita Popular tidak lama dulu.
Bantu dapatkan kerja
Bagi Kak Engku, ABPBH memberi impak besar kepada artis, terutama mereka yang baru mencipta nama, kerana ia membantu wajah segar ini untuk meningkatkan populariti mereka seterusnya mendapatkan tawaran kerja.
Tambah Kak Engku, anugerah ini sebagai tiket untuk artis baru berlayar lebih jauh dalam dunia seni. Bagaimanapun, bagi orang lama sepertinya, ia hanya untuk mengekalkan populariti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan