GAYA KOREA... kelainan pada pinggang menyerlahkan gaya wanita Korea ditambah perhiasan kipas berbulu yang menambah nilai tradisi.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my
MENGAMBIL inspirasi pakaian tradisional Korea Selatan dikenali sebagai Hanbok atau Choson-ot untuk Korea Utara serta kegilaan masyarakat terhadap filem serta drama Korea memberi idea kepada pereka serta pemilik Udaimatunnur, Ismail Abd Rahman.
Dia menghasilkan rekaan pakaian pengantin Korea berkonsepkan Malaysia dengan mengambil ciri-ciri Hanbok seperti gabungan warna ceria merah dan putih berpotongan gaun kembang yang disesuaikan untuk pengantin Muslimah.
Pakaian yang dipersembahkan bersempena Festival Fesyen Islam (IFF) ini mengambil konsep pesona timur dengan gambaran lima gadis jelita yang turun dari gunung Fuji. Menariknya, setiap padanan disertakan perhiasan seperti kipas berbulu serta payung kertas yang unik dan menawan yang menjadi identiti dalam penggayaan wanita Korea.
Menurut Ismail, dia menggabungkan fabrik sutera sifon, satin dan organza bagi setiap busana agar lebih menyerlah serta terletak cantik pada tubuh si pemakai. Dalam hal ini pemilihan kain sangat penting.
Ini kerana fabrik yang lembut seperti sifon sesuai untuk padanan raja sehari manakala untuk tudung dia menggunakan fabrik yang sama dengan rekaan ala serban.
“Untuk gaya pesona timur, saya mengambil inisiatif menghasilkan rekaan tudung lain daripada yang lain. Rekaan ringkas dan tidak sarat pastinya menjadi pilihan. Gaya ala serban lebih sesuai kerana menampakkan potongan serta menjadikan mempelai lebih tinggi. Untuk lebih menyerlah, penggunaan bunga segar pada tudung memberikan kelainan,” katanya.
Potongan gaun kembang dengan juraian pada tangan serta hadapan baju direka mengikut tradisi masyarakat Korea namun Ismail menggabungkan ciri tradisional menerusi jahitan manik bunga sakura menggunakan kristal dan Swarovski bagi menampakkan keindahan busana pengantin. Ikatan pada pinggang seperti tali pinggang besar menggunakan rona merah menjadi pelengkap kepada gaya pengantin k-pop.
“Jika padanan gaun Korea lebih sederhana menggunakan fabrik polos, saya sengaja mencipta kelainan menerusi jahitan manik pada hadapan baju yang menjadi ciri rasmi dalam penggayaan busana pengantin Melayu. Dengan jahitan bunga sakura pada fabrik putih ini, ia akan lebih memberi keunikan dan kepelbagaian pada potongan baju itu sendiri,” jelasnya.
Penyertaan kali keempat di IFF kali ini memberi peluang kepada Udaimatunnur menyerlahkan rekaan pengantin Muslimah. Jika dulu rekaan bersifat tradisi tetapi kini penambahan banyak unsur Inggeris serta timur turut mempengaruhi rekaannya.
“Sebab itu, ciri kontemporari menjadi pilihan mempelai dengan gabungan gaya moden dan tradisional. Dengan kegilaan unsur k-pop, sedikit sebanyak ciri ini turut memberi idea kepada pereka menghasilkan rekaan lebih kreatif, unik
dan moden,” jelasnya mengagumi kemunculan pereka muda berkonsepkan busana Muslimah dengan rekaan segar dan menawan.
Busana pengantin Korea boleh didapati di butik Udaimatunnur yang terletak di Rawang, Selangor. Mempelai boleh memilih sama ada menjadikan pakaian untuk persandingan sekiranya inginkan kelainan atau untuk pakaian persalinan.
Terima kasih:
Solekan: Kelrina House of Fashion (0192116277)
Pakaian: Udaimatunnur Eksklusif Pengantin Muslimah, Rawang (03-60215946)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan