Translate

Bantu

Sila Ketik sini untuk bantu Blog ini

Sabtu, 25 Februari 2012

Kenderaan kelas baru

MOTOR yang memiliki semua kelengkapan dan kemudahan sebuah kereta.

SAN FRANCISCO: Bagi mereka yang meminati keseronokan di jalan raya secara terbuka dan pada masa sama sukakan keselesaan menaiki kereta mewah, superbike unik ini mungkin menjadi penyelesaian yang tepat.

Motosikal elektrik yang dinamakan C-1 adalah gabungan kereta dan motosikal.

Ia dijangka mula digunakan di jalan raya hujung tahun depan.

Kenderaan ciptaan Lit Motors, syarikat automotif yang berpangkalan di San Francisco, motosikal dua penunggang yang bertutup sepenuhnya menggunakan sistem penstabilan gyroscopic bagi membolehkannya kekal tegak meskipun ketika tidak bergerak. Motosikal masa depan itu bukan saja membolehkan penunggangnya selesa dan mengelak basah akibat hujan, tetapi juga selamat kerana ia tidak akan terbalik apabila terbabit dalam pelanggaran.

Namun, harganya tidak murah - RM75,000 sebelum turun kepada kira-kira RM50,000 apabila pengeluaran meningkat.

Seorang jurucakap Lit Motors berkata, ramai orang telah berusaha mencipta sesuatu yang serupa dengan motosikal itu pada masa lalu tetapi tidak seorangpun yang berjaya.

Beliau berkata: “Belum ada kenderaan di jalan raya yang menggunakan sistem gyro pada masa ini. Ada cubaan sebelum ini tetapi tidak ada yang berjaya seperti kami.

“Bayangkan seorang kanak-kanak bermain gasing. Selagi ia berpusing, ia akan kekal tegak dengan sendirinya. Sama juga dengan kenderaan ini, selagi gyro itu berpusing, C-1 itu akan terus menegak.

“Motosikal kami hanyalah satu-satunya yang menegak dengan sendirinya. “Ini membolehkan pemasangan seluruh kelengkapan kereta seperti tempat duduk lekuk, stering, papan pemuka, kawalan cuaca, sistem bunyi, tali pinggang keledar dan beg udara.

“Ia adalah yang pertama seumpamanya. C-1 ialah kenderaan kelas baru, bukan kereta dan bukan motosikal.

“Kami gabungkan kecekapan, ketangkasan, bersaiz kecil dan keseronokan sebuah motosikal dengan kestabilan, kemudahan dan yang paling penting, keselamatan sebuah kereta.

“Peningkatan dari segi ketangkasan dan saiz yang lebih kecil berbanding sebuah kereta bermakna banyak kemalangan boleh dielakkan.

“Daripada memakai topi keledar, pemandu boleh memakai pakaian biasa. Dia akan sentiasa selamat.” Syarikat berkenaan merancang membawa C-1 mengelilingi dunia, bermula di California dan Amerika Utara, sebelum ke Eropah, Asia Timur, Australia, Asia Selatan, Amerika Selatan dan seterusnya.

“Kami menjangka ia akan mencetuskan revolusi dan mendapat sambutan hangat,” kata jurucakap berkenaan.

“Kami mencipta kenderaan bandar yang sempurna. Ia menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Ia tidak akan menyumbangkan kepada pencemaran udara,” kata jurucakap itu. - Agensi

Gaya pengantin k-pop

GAYA KOREA... kelainan pada pinggang menyerlahkan gaya wanita Korea ditambah perhiasan kipas berbulu yang menambah nilai tradisi.

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

MENGAMBIL inspirasi pakaian tradisional Korea Selatan dikenali sebagai Hanbok atau Choson-ot untuk Korea Utara serta kegilaan masyarakat terhadap filem serta drama Korea memberi idea kepada pereka serta pemilik Udaimatunnur, Ismail Abd Rahman.

Dia menghasilkan rekaan pakaian pengantin Korea berkonsepkan Malaysia dengan mengambil ciri-ciri Hanbok seperti gabungan warna ceria merah dan putih berpotongan gaun kembang yang disesuaikan untuk pengantin Muslimah.

Pakaian yang dipersembahkan bersempena Festival Fesyen Islam (IFF) ini mengambil konsep pesona timur dengan gambaran lima gadis jelita yang turun dari gunung Fuji. Menariknya, setiap padanan disertakan perhiasan seperti kipas berbulu serta payung kertas yang unik dan menawan yang menjadi identiti dalam penggayaan wanita Korea.

Menurut Ismail, dia menggabungkan fabrik sutera sifon, satin dan organza bagi setiap busana agar lebih menyerlah serta terletak cantik pada tubuh si pemakai. Dalam hal ini pemilihan kain sangat penting.


Ini kerana fabrik yang lembut seperti sifon sesuai untuk padanan raja sehari manakala untuk tudung dia menggunakan fabrik yang sama dengan rekaan ala serban.


“Untuk gaya pesona timur, saya mengambil inisiatif menghasilkan rekaan tudung lain daripada yang lain. Rekaan ringkas dan tidak sarat pastinya menjadi pilihan. Gaya ala serban lebih sesuai kerana menampakkan potongan serta menjadikan mempelai lebih tinggi. Untuk lebih menyerlah, penggunaan bunga segar pada tudung memberikan kelainan,” katanya.

Potongan gaun kembang dengan juraian pada tangan serta hadapan baju direka mengikut tradisi masyarakat Korea namun Ismail menggabungkan ciri tradisional menerusi jahitan manik bunga sakura menggunakan kristal dan Swarovski bagi menampakkan keindahan busana pengantin. Ikatan pada pinggang seperti tali pinggang besar menggunakan rona merah menjadi pelengkap kepada gaya pengantin k-pop.

“Jika padanan gaun Korea lebih sederhana menggunakan fabrik polos, saya sengaja mencipta kelainan menerusi jahitan manik pada hadapan baju yang menjadi ciri rasmi dalam penggayaan busana pengantin Melayu. Dengan jahitan bunga sakura pada fabrik putih ini, ia akan lebih memberi keunikan dan kepelbagaian pada potongan baju itu sendiri,” jelasnya.

Penyertaan kali keempat di IFF kali ini memberi peluang kepada Udaimatunnur menyerlahkan rekaan pengantin Muslimah. Jika dulu rekaan bersifat tradisi tetapi kini penambahan banyak unsur Inggeris serta timur turut mempengaruhi rekaannya.

“Sebab itu, ciri kontemporari menjadi pilihan mempelai dengan gabungan gaya moden dan tradisional. Dengan kegilaan unsur k-pop, sedikit sebanyak ciri ini turut memberi idea kepada pereka menghasilkan rekaan lebih kreatif, unik
dan moden,” jelasnya mengagumi kemunculan pereka muda berkonsepkan busana Muslimah dengan rekaan segar dan menawan.

Busana pengantin Korea boleh didapati di butik Udaimatunnur yang terletak di Rawang, Selangor. Mempelai boleh memilih sama ada menjadikan pakaian untuk persandingan sekiranya inginkan kelainan atau untuk pakaian persalinan.

Terima kasih:

Solekan: Kelrina House of Fashion (0192116277)
Pakaian: Udaimatunnur Eksklusif Pengantin Muslimah, Rawang (03-60215946)

Panas dengan adegan solat

RAMAI puji drama sekarang banyak menunjukkan babak bersolat, mengaji al-Quran, berzikir dan pelbagai amalan baik yang lain.

Artis yang kini berhijrah memakai tudung pun tidak bimbang lagi kerana pihak stesen TV semakin bersikap terbuka. Produser dan pengarah pun tidak ketepikan mereka dan banyak watak yang sesuai dengan penampilan baru mereka.

Misalnya, Irma Hasmie. Sejak dia bertudung rezeki berlakon tidak pernah putus dan dia juga diambil menjadi pengacara program Islamik yang bertajuk Assalamualaikum di TV Alhijrah. Sekarang Irma di Makkah mengerjakan umrah.

Bagaimanapun artis yang seorang ini bukannya nak bersyukur dengan perubahan rakan artis atau pun dia teringin untuk berubah sama tetapi SS lihat seolah-olah dia berada dalam dunianya yang aneh dan asing.

Dia merungut dan marah-marah apabila pengarah mengambil masa agak lama untuk merakamkan adegan bersolat dalam salah satu drama lakonannya. Dia tak terbabit pun dalam adegan berkenaan tetapi dia ‘naik hantu’ kerana terpaksa menunggu lama untuk adegan itu siap, sebab selepas babak solat tadi barulah pengarah akan membuat penggambaran untuk babaknya pula.


Mengamuklah artis itu di lokasi. SS juga dapat tahu artis itu juga tak berapa suka mendengar laungan azan. Tak tahulah SS, dia dah terkena sampuk jin apa. SS berharap sebelum terlambat, artis itu kajilah semula asal usul keturunannya dan yang selebihnya mohon keampunan daripada Allah s.w.t.

SS: Allah s.w.t beri dugaan untuk menguji keimanan hamba-Nya.

Ustaz Azhar dari Temerloh ke De Palma, Ampang

Harakahdaily, 25 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 25 Feb: Selebriti baru terkenal, Ustaz Azhar Idrus mempunyai jadual yang padat hujung minggu ini sejak pagi tadi hinggalah esok.

Pagi tadi, sejak jam 8 pagi beliau bersama Karnival Mahabbah di Dataran Kubang Gajah, Temerloh, Pahang.

Dataran Kubang Gajah, Temerloh, Pahang

Petang ini beliau akan berada di Stadium Selayang, Selangor untuk menyertai perhimpunan 'Orang Muda Geng Kita' juga bersama Ustaz Nasrudin.

Turut serta petang ini adalah Aizat AF4.

Malam ini pula beliau akan memberikan ucapan dalam Karnival Memakmurkan Masjid di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Esok pula, beliau akan bersama Pemuda PAS Terengganu di Hotel De Palma, Ampang bagi meraikan majlis kutipan dana pilihan raya mereka.

Himpunan Hijau 2.0 setelah perbincangan buntu


Hazayani Zakaria, 25 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 25 Feb: Himpunan Hijau 2.0 yang akan berlangsung esok tercetus setelah beberapa perbincangan dengan pihak bertanggungjawab menemui jalan buntu.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar (gambar) berkata, PAS sangat kecewa dengan maklum balas daripada beberapa pihak seperti Jabatan Alam Sekitar Pahang dan pejabat Menteri Besar sendiri berhubung kerisauan mereka mengenai risiko projek pembinaan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan.

"Bantahan kita dan himpunan esok berdasarkan beberapa perbincangan, bukan terus kepada perhimpunan.

"Pada mulanya kita mengadakan perbincangan dan dialog dengan pihak berkuasa dan saya sendiri pernah mengeatuai perbincangan dengan agensi kerajaan termasuk dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," kata beliau kepada Harakahdaily semalam.

Malah katanya, sesi dialog juga sepatutnya diadakan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, namun beliau enggan bertemu dengan pihaknya mahupun menerima memorandum bantahan.

"Sebelum bertemu pihak yang lebih tinggi, Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) terlebih dahulu menyerahkan memeorandum ke pejabat Menteri Besar Pahang tapi beliau enggan bertemu dengan kita," katanya yang merupakan penasihat Badar.

Justeru katanya, perhimpunan esok merupakan kemuncak kepada usaha sebelum ini dan sebagai tanda solidariti lebih 80 badan bukan kerajaan (NGO) bersama penduduk Kuantan yang sedang berhadapan bahaya.

"Himpunan ini tidak ada perarakan hanya menghimpunkan rakyat seluruh negara dan khususnya rakyat Kuantan untuk menyatakan hasrat dan menyatakan pandangan dan isi hati mereka di atas pelaksanaan operasi kilang Lynas di Kuantan.

"Kita akan berhimpun secara aman ada pembacaan sajak oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan ada sedikit ucapan oleh NGO-NGO dan pemimpin politik.

"Selepas itu NGO-NGO akan menyatakan deklarasi mereka berkaitan pembangunan kilang lynas yang berisiko tinggi ini, mereka akan tandatangan bantahan mereka dan mereka akan buat penyataan secara beramai-ramai," katanya.

Sementara itu, perhimpunan esok berpindah ke Padang Kemunting, kira-kira setengah kilometer dari tapak asal himpunan iaitu Padang MPK.

Khamis, 5 Januari 2012

Pelajar Cemerlang SPM 2006, Siti Fatimah Kekal Imej Muslimah Walaupun Di Perantauan



Labels: MISC

Isu terhangat yang diperkatakan ketika ini di laman sosial yang mana, mahasiswi cemerlang tajaan Malaysia di United Kingdom ‘berposing maut’ dan memuat turun gambar di laman sosialnya.

Pengajaran yang boleh diambil, janganlah kita menjadi individu yang terlalu negatif dan mendesak kerana manusia sesunguhnya tidak lari dari melakukan kesilapan, yang melakukan kesilapan janganlah kita menghukumnya dengan perlakuan ‘dosa’ yang dilakukan.

Kini kita singkap kisah pelajar yang mendapat anugerah yang juga dimiliki Amalina yang mendapat ‘Anugerah pelajar cemerlang SPM’.

Pada tahun 2006, Anak Kelantan yang mendapat anugerah pelajar cemerlang dalam SPM bagi tahun 2006, dengan keputusan 17 1A dan 1 2A, kini sedang melanjutkan pelajarannya dalam jurusan perubatan di University of Nottingham, United Kingdom. Disebutkan, beliau ialah Siti Fatimah Mukhtar.

Siti Fatimah kelihatan masih kekal dengan imej tudung labuh, kekal dengan jati diri sebagai seorang rakyat Malaysia dan sebagai seorang Muslim. Inilah watak yang seharusnya menjadi contoh kepada seluruh anak muda dan terutama sekali para pelajar di seluruh negara.

Di Malaysia tahun demi tahun pelajar-pelajar yang cerdik pandai sering meningkat jumlah peratusannya. Ini mewujudkan ramai lagi watak cemerlang negara yang terus mengekalkan jati diri dan nama baik negara untuk kita semua contohi.

Dalam hal ini, buanglah yang keroh ambillah yang jernih. Jadikan pengalaman itu sebagai panduan di masa hadapan disamping mendekatkan diri kepada Allah agar terhindar dari perkara mungkar juga dilaknati Allah.


Sumber: www.penulissenja.com

Ibu: Tuduhan Nur Amalina liar hanya fitnah



Labels: Sinar Harian

JOHOR BAHRU - Hati ibu mana yang tidak terkilan jika anak yang ditatang bagai minyak yang penuh tujuh tahun yang lalu, kini ditohmah dengan pelbagai tuduhan kononnya liar dan tidak berakhlak.

Apa lagi Nur Amalina Che Bakri sebagai idola pada suatu ketika pernah membanggakan bukan sahaja ibunya, Sabariah Hassan, 52, malahan juga negara sebagai Pelajar Terbaik SPM 2004.

Ketika itu ramai ibu bapa mahu anak mereka menjadikan Nur Amalina sebagai idola.

Namun kini, apabila laman Facebook peribadinya dicerobohi, nasib Nur Amalina sudah jauh berbeza.

Dia tidak lagi disanjung seperti dahulu, malah ada juga yang menuduh pencatat sejarah dengan keputusan SPM 17A1 itu sebagai seorang anak gadis yang berubah liar kerana mengalami kejutan budaya.

Ini berikutan gambar peribadinya bersama rakan-rakan yang dirakam dalam keadaan dia berpakaian yang boleh disifatkan sebagai seksi, tersebar di Internet.

“Tidak! Anak saya bukan anak gadis yang liar. Saya tahu dia lebih daripada orang lain. Bukan saja kerana dia anak saya, malah kami berhubung hampir setiap malam. Malah saya juga sudah 13 kali ke sana (United Kingdom), sejak dia menuntut di sana,” kata Sabariah kepada Sinar Harian.

Menurutnya, tuduhan kononnya Nur Amalina yang kini berusia 23 tahun tewas dengan kejutan budaya hidup di negara Barat hingga kini tidak lagi bertudung, juga tidak benar.

“Anak saya memang tidak bertudung. Orang hanya tengok gambar dia semasa dia bersekolah menengah. Waktu itu dia memang bertudung ke sekolah,” katanya.

Nur Amalina kini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam dua bidang iaitu jurusan perubatan dan sains farmakologi di University of Edinburgh, Scotland bawah tajaan Bank Negara Malaysia.

“Saya bukan semata-mata nak membela anak saya. Sebagai ibu, saya juga tentu tak akan terima jika berlaku sesuatu yang tidak baik kepada anak saya. Namun saya tahu dia macam mana. Gambar yang disebar itu, saya sendiri yang rakam sewaktu kami bercuti bersama rakan-rakan anak saya di Paris tiga tahun lalu. Malah seluar yang dia pakai itu, saya sendiri yang beli,” kata Penolong Kanan I Sekolah Menengah Kebangsaan Johor Jaya, di sini.

Sabariah berkata, tuduhan konon Nur Amalina sudah berubah hingga mewarnakan rambut, gemar bersosial malah menjalani kehidupan yang liar hanya fitnah pihak tertentu yang sengaja mahu mencemarkan nama baik anaknya.

“Pelajaran anak saya tidak terjejas pun. Dia kini dalam proses menerbitkan buku yang akan digunakan oleh pelajar perubatan, pensyarah dan pengamal perubatan yang dihasilkannya dengan bimbingan profesor di sana.

“Empat kajiannya telah diterbitkan sebagai jurnal dan dia akan menjalani praktikal di Oxford bermula November ini,” katanya.

Ditanya sama ada anaknya tahu mengenai gelombang fitnah itu yang mula membadai laman maya sejak beberapa hari lalu, Sabariah berkata, Nur Amalina yang memaklumkan kepadanya akan hal itu.

“Dia beritahu saya malam Isnin lalu, ketika kami berhubung menerusi Skype. Ina (Amalina) kata dia terima 800 permohonan rakan baru Facebook dari Malaysia. Rupa-rupanya yang ramai itu kerana ada isu gambar dia. Tetapi dia ketawa saja,” katanya.

Sabariah yakin, anaknya cukup kuat untuk menangani hal itu.

“Saya sendiri harap penga­jiannya tidak terjejas. Saya pernah menitis air mata sewaktu mengunjunginya di sana apabila melihat dia tekun ulang kaji pelajaran hingga jam 3 pagi di perpustakaan universiti dengan hanya ditemani pengawal keselamatan. Katanya, itu kehidupan yang dia lalui hampir setiap hari,” katanya.

Kata Sabariah, kali terakhir mereka bertemu, 10 Disember lalu ketika dia ke sana untuk meraikan hari kelahiran Nur Amalina.

Gadis itu dijadual akan menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan Mei tahun depan.

“Kepada pihak yang sewenang-wenang melempar dan menyebar fitnah terhadap anak saya, saya harap mereka boleh fikir dan timbang, bagaimana jika gambar peribadi mereka sendiri, atau anggota keluarga mereka diceroboh, disebar dan difitnah yang bukan-bukan? Saya harap mereka dapat fikir. Itulah perasaan saya sekarang, sangat terkilan,” katanya.