Oleh RUDY IMRAN SHAMSUDIN
Hampir
10 tahun berusaha menempa nama dalam dunia seni, baru sekarang
Hanez Suraya, 28, mengecapi populariti bagi membolehkan dia meneruskan
kelangsungan kerjaya sebagai pelakon.
Bermula dengan drama bersiri
Suri, bakat Hanez semakin mendapat
perhatian penerbit mahupun pengarah filem dan turut disenaraikan di Top 5
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH2012) kategori
Artis
Baru Wanita Popular yang berlangsung malam ini di Stadium Putra, Bukit
Jalil.
Membanggakan apabila ada penerbit drama memberitahu, nama Hanez kini
tersenarai dalam barisan pelakon A-List, yang dinilai menerusi bayaran
tinggi diterima apabila terbabit dalam pembikinan drama bersiri 26
episod.
Maknanya, Hanez kini sebaris dengan pelakon popular dan
berbakat besar sedia ada seperti Umie Aida, Erra Fazira, Aaron Aziz, Adi
Putra, Rita Rudaini, Fasha Sandha, Fazura, Shahiezy Sam, Rozita Che
Wan, Nora Danish, Remy Ishak dan Tiz Zaqyah (sekadar menyebut beberapa
nama).
Pelakon yang mula diperkenalkan menerusi filem
Bicara Hati itu bersyukur dengan perubahan berlaku dalam hidupnya.
Katanya, sepanjang 10 tahun membabitkan diri dalam seni, lapan
tahun hidupnya dikenali dengan pelbagai kontroversi dan hanya dua tahun
kebelakangan ini, baru orang nampak bakat lakonannya.
“Mungkin
juga ini berkat kesungguhan dan tidak kenal erti putus asa. Ibaratnya,
saya kini hidup dalam dunia baru. Sebelum ini apabila orang lebih banyak
bercerita mengenai kontroversi, saya seperti mahu meninggalkan dunia
lakonan.
“Begitupun, selepas saya buang semua perkara yang boleh
menjejaskan tumpuan dalam kerjaya, perjalanan seni saya mula menunjukkan
sinar.
“Saya tidak salahkan pihak yang cuba menggembar-gemburkan
cerita buruk saya sebelum ini kerana ia datang dari diri sendiri.
Maklumlah waktu itu saya muda dan darah tengah panas.
“Apabila usia mencecah 28, saya mahu lebih serius membangunkan kerjaya seni. Saya tidak mahu main-main,” katanya.
Jelas
Hanez, sepanjang tempoh dua tahun ini juga, dia mampu bangun kembali
dan mencipta kejayaan seperti mana diperoleh rakan seangkatannya yang
turut sama-sama membintangi filem Bicara Hati seperti Fazura dan Sheera
Iskandar.
Katanya, kejayaan mereka juga dijadikan pembakar
semangat. Perasaan cemburu tidak pernah timbul. Mengimbas kembali apa
diraih sekarang membuatkan dia lebih menghargai kepayahan terpaksa
dilalui sebelum ini.
“Kepayahan dan dugaan dilalui banyak
mengajar saya untuk menjadi manusia lebih baik. Saya turut menghargai
apa diperoleh sekarang.
“Tidak pernah terlintas di fikiran yang saya ada peminat yang sentiasa menyokong dan menjadi tulang belakang kerjaya seni saya.
“Mereka bersatu menubuhkan Hanez Suraya Fan Club (HSFC) dan saya sangat menghargai dan menyayangi mereka,” katanya.
Mengenai
bayaran tinggi diterima, kata Hanez, ia harga yang seharusnya diterima
bagi pelakon utama drama bersiri. Apatah lagi tumpuan harus diberi
sepanjang penggambaran dijalankan dalam tempoh hampir tiga bulan.
“Jika
persetujuan diberi, seseorang pelakon akan terikat dan tidak boleh
menerima tawaran lain bagi membolehkan kerja-kerja penggambaran untuk
episod panjang dapat diselesaikan mengikut tarikh siaran diberikan
stesen televisyen. Dalam erti kata lain, pelakon terpaksa melepaskan
rezeki lain yang datang.
“Mungkin orang luar tidak faham apabila
terbabit dalam drama bersiri, tempoh kerja terlalu panjang. Bayangkan
ada ketika sebagai pelakon, kami harus bekerja dari pagi hingga ke pagi
keesokan hari.
“Kalau memegang peranan utama, ada ketika kami
terbabit dengan kerja penggambaran 30 babak dalam masa sehari. Pada
saya, menilai dari semua sudut, sudah tentu bayaran tinggi diberi adalah
sesuai dengan upah kerja dilakukan,” katanya.
Kata Hanez, jika
ada yang meletakkan dirinya dalam senarai pelakon kelas A, dia sangat
berterima kasih dan menganggapnya sebagai penghargaan besar terhadap
bakatnya.
Hanez kini mempertaruhkan drama
Sedetik Cinta yang
disiarkan melalui slot Akasia di TV3 sejak 3 April lalu. Drama 24 Episod
ini diterbitkan Enuja Production Sdn Bhd dan turut dijayakan Awal
Ashaari, Zarynn Min, Tunku Hanis, Fizz Fairuz, Puteri Fatin, Redzuan
Hashim, Kathy Azean, Rosnah Johari dan Sofian Bujang.
Hanez kini lebih berhati-hatiSelain
bakat lakonan yang ditunjukkan dalam setiap drama bersiri dibintangi,
Hanez Suraya menjadi perhatian media gara-gara hubungan cintanya dengan
penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael.
Sebagai pelakon yang
berdepan situasi di mana hal peribadinya menjadi perhatian dan paparan
media, bagaimana Hanez menghadapinya? Adakah dia selesa dengan perkara
itu atau sebaliknya?
Apatah lagi dia juga kini menjadi jurucakap
produk kecantikan Aura White. Sebagai duta, pasti Hanez harus lebih
berhati-hati apabila menangani isu berkaitan gosip dan hal peribadi.
Hanez
akui, sebelum ini ada juga pihak mahu melamarnya menjadi jurucakap
produk kecantikan tetapi tawaran dibatalkan gara-gara gosip atau
kontroversi yang pernah ditimbulkan sebelum ini.
Katanya, dia
faham tugas media dan sebaik mungkin memberi kerjasama atas apa saja
soalan diajukan. Malah, prinsipnya sejak dulu tidak mahu berahsia dengan
peminat dan berkongsi hal peribadi.
“Maknanya, antara saya dan
peminat tidak ada tembok penghalang untuk menjadikan hubungan lebih
akrab. Ibaratnya, saya melayani peminat seperti kawan yang boleh
berkongsi apa saja cerita.
“Begitupun, setakat ini saya tidak
bercerita 100 peratus, luar dan dalam. Lagipun, mengapa perlu berahsia
kerana bimbang jika saya mengamalkan sikap begitu nanti, pelbagai lagi
cerita tidak sedap disiarkan. Itu jauh lebih buruk,” katanya.
Kata
Hanez, sebagai pelakon, ada ketika dia turut berhati-hati dalam memberi
kenyataan dan selalunya perkara itu dibicarakan jika soalan berkaitan
kerjaya seni terlebih dulu diajukan.
“Saya faham kerja orang
media. Wartawan tentu mahu memberikan cerita menarik kepada pembaca.
Mereka juga menjadi penghubung antara saya dan peminat. Apa saja
perkembangan membabitkan kerjaya seni dan peribadi akan dilaporkan.
“Saya
pula selalunya tidak kisah jika dalam temubual itu ada yang menyelitkan
soalan peribadi, sekadar untuk mengetahui perkembangan apa yang berlaku
selain kerjaya lakonan.
“Namun, kalau ada yang datang bertanya
soal cinta semata-mata, pada saya ia kurang manis kerana bimbang
pandangan peminat. Nanti saya dituduh sengaja menjaja cerita dalam kain
untuk meraih populariti.
“Kalau boleh, saya tidak mahu perkara
seperti itu berlaku. Apa pun, biarlah hal peribadi dan kerjaya seni
dilaporkan secara seimbang,” katanya.
PROFIL:Nama sebenar: Hanez Suraya Abd Aziz
Lahir: 22 Ogos 1985 di Subang, Selangor
Keluarga: Anak sulung daripada tiga beradik
Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia
Kerjaya: Pelakon dan model.
Drama bersiri Suri menjadi permulaan kerjaya seni Hanez.
Filem pertama Hanez ialah Bicara Hati.
Menetap bersama keluarga di Subang.