Translate

Bantu

Sila Ketik sini untuk bantu Blog ini

Memaparkan catatan dengan label Sastera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sastera. Papar semua catatan

Rabu, 12 Jun 2013

BIMBINGAN BERKARYA - PUISI MODEN


Definisi Puisi Moden

Za’ba mendefinisikan puisi atau karangan berangkap sebagai,”khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik hati orang yang mendengarnya. Seterusnya Za’ba mengatakan bahawa karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang tertentu.

Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba di atas memperlihatkan dua ciri utama puisi. Pertama, sifat abstraknya seperti kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan bunyi. Kedua, sifat konkritnya, struktur dasar yang merangkumi binaan baris dalam rangkap, kedudukan suku kata dalam baris, kedudukan suku kata dalam baris dan susunan rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tema dan kesannya kepada pembaca.

Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba  lebih merupakan definisi dari sudut pandangan seorang pengkaji. Definisi puisi yang dikemukakan oleh seorang penyair dan sekali gus sarjana sastera pula, iaitu Muhammad Haji Salleh, puisi ialah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijakan penyair dengan tradisinya. Dalam segala sifat kekentalannya itu, puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana.

Daripada penyair Inggeris di Barat pula, Wordsworth, mendefinisikan puisi sebagai pengucapan tentang perasaan ghairah yang imaginatif, biasanya berentak ... curahan perasaan yang kuat secara spontan yang diingatkan kembali dalam suasana yang tenang. S.T. Coleridge, juga seorang penyair Inggeris, mendefinisikan puisi sebagai kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik.

 Masih banyak lagi definisi puisi yang dikemukakan oleh pengkaji puisi dan penyair. Namun, daripada sejumlah kecil definisi yang diberikan itu dapat memberikan ciri-ciri puisi yang bermutu tinggi.

Sejarah Awal Puisi Melayu Moden Secara Ringkas

Penulis Melayu yang pertama menulis puisi Melayu moden ialah Omar Mustaffa. Puisinya bertajuk “Angan-angan dengan Gurindam’, disiarkan dalam Utusan Melayu, 18 Januari 1913. Puisi ini dari segi bentuk dan isinya telah jauh menyimpang daripada puisi Melayu tradisional – pantun dan syair terutamanya. Dari segi bentuk, susunan baris, rangkap, dan rima akhirnya tidak terikat lagi dengan bentuk tradisional. Dari segi isinya, mengungkapkan persoalan semasa pada waktu itu, iaitu menyuarakan persoalan ekonomi dan politik.

Sejak tersiarnya puisi yang memperlihatkan pembaharuan atau pemodenan pada bentuk dan isinya, berlaku semacam kekosongan dalam penghasilan puisi moden. Hanya pada awal-awal tahun 1930-an, kegiatan menulis puisi mula kelihatan jelas kembali. Ini berdasarkan puisi “O Sariku”, karya Harun Aminurrasyid yang tersiar dalam majalah Pujangga Baru, Bil. 6, Disember 1933. Pada tahun 1934, Pungguk menghasilkan lima buah puisi sekali gus dan disiarkan dalam Majalah Guru, Mac 1934. Judul puisi-puisi Pungguk itu ialah, “Keluh Kesah”, “Selalu Merayu”, “Tak Disangka-sangka”, “Pujukan hati”,  dan “Ibuku”. Dalam kelima-lima buah puisi ini telah ditemui penyimpangan daripada peraturan puisi-puisi Melayu tradisional yang ketat.

Sejak Harun Aminurrasyid dan Pungguk menghasilkan puisi moden, puisi Melayu moden tumbuh dan berkembang dengan pesat sekali. Pelbagai tema dan persoalan yang dikemukakan oleh para penyair yang bersesuaian dengan zaman mereka dan harapan mereka tentang hidup dan kehidupan ini yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia, manusia dengan Pencipta, dan manusia dengan alam. Hal ini akan lebih jelas terlihat apabila alur sejarah pertumbuhan dan perkembangan puisi Melayu moden disusuri.

Persediaan Menulis Puisi

Seseorang yang hendak menulis puisi haruslah pula mempersiapkan dirinya. Dia mestilah banyak membaca puisi, karya banyak penyair. Dengan ini, secara tidak langsung dia mempelajari puisi. Dia juga mestilah banyak membaca bahan bacaan yang lain untuk tujuan memperluas kosa kata dan mendapat idea untuk menulis puisi. Dia juga mestilah sering menghasilkan puisi sebagai latihan untuk menimbulkan keterampilan dalam penulisan puisi. Untuk itu, dia juga mestilah memiliki kesabaran dan bersedia untuk menyendiri. Semua ini merupakan sebahagian kecil tuntutan yang diperlukan sebagai persediaan untuk seseorang itu menulis puisi.

Panduan Penulisan Puisi

Puisi yang bermutu ialah puisi yang mempunyai keseimbangan antara bentuk luaran dengan bentuk dalamannya. Keseimbangan inilah yang memberi keindahan bahasa dan keindahan makna pada sesebuah puisi itu. Oleh itu, seseorang yang hendak menulis puisi mestilah mengambil kira aspek keseimbangan ini.

Bentuk luaran ialah ciri-ciri yang membina sesebuah puisi tersebut. Ciri-ciri ini dapat dilihat. Baris, bunyi, pemilihan kata, bahasa figuratif, kata konkrit, kata abstrak, penyimpangan bahasa, dan tipografi merupakan bentuk luaran puisi.

Struktur dalaman puisi terdiri daripada tema, perasaan, nada atau sikap dan mesej. Tema ialah idea utama yang hendak disampaikan oleh seseorang penyair dalam sesebuah puisi. Antara tema dalam puisi termasuklah keagamaan, kemanusiaan, dan nasionalisme, ekonomi, dan politik. Perasaan ialah suasana perasaan penyair yang diikutsertakan dalam puisi dan dapat dihayati oleh pembaca. Perasaan tersebut mungkin simpati, sedih, benci, marah, kasihan, pasrah, dan sebagainya. Nada ialah sikap penyair penyair terhadap pembaca. Sikap penyair mungkin menggurui, mengejek, menasihati, dan menceritakan sesuatu kepada pembaca. Mesej ialah perkara yang mendorong seseorang penyair itu menulis puisi. Mesej tersirat di sebalik tema yang diungkapkan.

Sumber: DBP

Rabu, 13 Mac 2013

Jururawat Jenis Memalukan Kerajaan Atau Apa?

Bayi Kota Bharu

    March 13, 2013


12.3K
 
22
 
2
 

Jasa hospital kerajaan kepada kita semua sememangnya banyak.

Tidak boleh dinafikan, tak kita sudah tentu ada adik-beradik atau keluarga kita yang pernah mendapat manfaat dan terselamat nyawa akibat hospital kerajaan.

Tak hari ni, mungkin beberapa tahun lalu…

Kerajaan juga tidak dinafikan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat dalam aspek perubatan percuma.

Peningkatan mutu perkhidmatan di hospital kerajaan juga semakin baik.

Cuma masalahnya kekadang jumlah pesakit di hospital atau klinik kerajaan adalah terlalu ramai…bukan kekadang pun, setiap masa macam tu.

Akibatnya memang kita kena menunggu lama …tapi janganlah merunggut sebab orang lain pun tunggu juga.

Disebabkan itu, beban kerja para jururawat dan doktor menjadi banyak. Kalau tak silap tahun lepas siap ada seorang doktor pelatih Cina yang bunuh diri akibat beban kerja.

Itulah antara masalah yang penulis tahu kerajaan cuba perbaiki. Namun ia tidak semudah yang disangka.

Bukan mengampu kerajaan, tetapi penulis dan keluarga penulis terutama arwah ibu suatu masa dahulu banyak terhutang budi dengan rawatan di hospital kerajaan.

Jangan kita lupa jasa orang bila kita dah senang dan mampu ke hospital swasta.

Bagusnya hospital kerajaan walaupun terpaksa menunggu ialah, mereka tidak akan membuat sebarang ujian yang merepek.

Di hospital swasta, pantang ada peluang sikit mesti nak buat ujian itu ujian ini….supaya kita perlu bayar lebih = untung lebih.

Jangan kata hospital swasta bagus sangat, pengalaman membawa anak ke Hospital Ampang Puteri baru-baru ini menyebabkan penulis malas hendak jejak kaki ke sana lagi.

Doktor bagi kebenaran keluar hospital 11 pagi, kakitangan wad dengan bahagian pembayaran punya bodoh dan lembab, malam pukul 9 baru dapat keluar….punyalah gila kami sekeluarga menunggu dari siang bawa ke malam untuk keluar…nak kata hospital kerajaan lambat?

Yang penulis hendak tekankan di sini ialah hospital kerajaan ada kekangan dan Kementerian Kesihatan memang berusaha untuk memperbaiki.

Kadang-kadang dari segi dasar semua okay…tetapi segelintir kakitangan yang lebih sudu daripada kuah yang menjadi masalah.

Hari ini di Facebook ada sebuah gambar luahan hati seorang bapa terhadap sikap seorang jururawat Hospital Besar Kota Bharu.

Tengok pada jumlah orang share, sah gambar tu dah jadi viral.

Sebenarnya perlu ada siasatan untuk memastikan apa yang benar-benar berlaku. Benarkah ada dialog seperti itu. Takut ibubapanya yang marah dengan apa terjadi dan mahu mengenakan jururawat tersebut.


Kisah sebenar kita tidak tahu lagi. Terlalu awal untuk kita belasah satu pihak sahaja.

Namun, jika benar jururawat berkenaan berkata demikian, maka dia harus diingatkan bahawa kerajaan labur berbilon ringgit setiap tahun termasuk membayar gaji jururawat tu, so menjadi tanggungjawab dia untuk buat kerja dan tak perlu sindir-sindir orang.

Pasti sekali bukan dasar Kementerian Kesihatan untuk sindir pesakit yang datang. Inilah masalahnya, kerajaan dah buat semua, yang duduk kat bawah makan gaji tu tak faham cara nak buat kerja sejajar dengan misi dan visi yang kerajaan hendak capai.

Berikut luahan bapa tersebut;

“Kerja Nurse hospital Kota Bharu, bila ditanya..nurse salahkan baby kerana bergerak gerak dalam babycase..bila ditanya lagi, kalau  TAK suka benda macam ini, jangan masuk hospital kerajaan katanya..

Nasib baik isteri sendiri yang tanya, kalau saya sendiri memang makan maki hamun dengan saya..Walaupun bukan anak sendiri, ingatlah tanggungjawab wahai nurse, esok-esok kat kubur hang jawablah dengan Tuhan sendiri..ini bukan anak saya, tp beringtlah kepada sesiapa yang sayangkan anak..tolong share..”

“Ward 2 SCN, Pukul 6.30 Pagi td..B/O Nurul Wahidah Hospital Besar Kota Bharu”

Selasa, 6 Mac 2012

Pakar: Kajian arkeologi buktikan Hang Tuah wujud

Seorang pakar arkeologi hari ini mempertahankan kewujudan Hang Tuah berdasarkan bukti arkeologi.

"Saya percaya tokoh ini wujud. Nama Hang memang sudah wujud di alam Melayu. Panggilan Hang ada di Padang Lawas Sumatera, Indonesia.

"Tetapi nama yang empat orang lagi itu (Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu) mungkin boleh dikaji lagi," kata Yang Dipertua Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman.

Beliau berkata meskipun tiada kajian khusus dijalankan, namun kajian arkeologi membuktikan terdapat beberapa penemuan daripada tinggalan seramik atau tembikar yang menunjukkan kesan pada abad ke-15.

"Kajian khusus tidak ada, tetapi kalau makam, ia ada walaupun nama tidak tertulis padanya," katanya kepada pemberita di ibunegara Jumaat.

Beliau diminta mengulas mengenai pendapat ahli sejarah Prof Tan Sri Khoo Kay Kim bahawa Hang Tuah tidak wujud dan lebih merupakan tokoh mistik.

Beliau berkata tiada bukti dan rekod tentang kewujudan Hang Tuah begitu juga dengan Puteri Hang Li Po dari China yang dikatakan telah berkahwin dengan Sultan Melaka di abad ke-15.

- Bernama

Sasterawan: Kitab bukti kewujudan Hang Tuah

Sasterawan Negara Dr Muhammad Salleh berkata nama Hang Tuah diulang banyak kali dalam dua dokumen penting – Tuhfat al-Nafis dan Sulalatus Salatin – yang membuktikan kewujudan watak tersebut dalam sejarah.

Bagaimanapun, bahan berkenaan tidak dibaca oleh kebanyakan orang yang lebih banyak melihat gambaran watak tersebut melalui media popular seperti filem dan juga novel epik Hikayat Hang Tuah.

Menurutnya lagi, nama Hang Tuah disebut sebanyak 128 kali dan sehingga tujuh bab dalam kitab Sulalatus Salatin edisi A Samad Ahmad.

"Saya rasa kalau bukan penting dan jika dia legenda seperti Banderang atau Badang, mungkin dalam satu bab sahaja kemudian hilang," katanya lagi dalam forum berkenaan.

Sesetengah pihak pada masa ini hanya menonton filem Hang Tuah dan menyimpulkan kewujudannya melalui watak yang muncul dalam filem berkenaan.

"Kemudian dicampur lagi dengan Hikayat Hang Tuah yang dibaca bercebis-cebis," katanya dalam forum Hang Tuah di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur hari ini.

Selain kitab berkenaan, satu kitab yang ditulis oleh seorang penulis bernama Hang Kulh (dieja dalam tulisan Jawi dengan huruf qaf-wau-lam-ha) yang didakwa sebagai sepupu Hang Tuah turut dijumpai, kata sasterawan itu lagi.

Namun, keadaan manuskrip yang daif dan juga naratif yang tidak lengkap dalam dokumen berkenaan tidak melayakkannya untuk dimasukkan ke dalam Daftar Ingatan Dunia (Memory of the World Register), katanya lagi.

Berdasarkan bukti melalui bahan bertarikh 1658 itu, Muhammad berkata "pada saya, berat kepada kenyataan bahawa (Hang Tuah) wujud."

Muhammad turut menyampaikan penghargaannya kepada seorang lagi ahli panel – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim – yang bertanggungjawab menimbulkan kontroversi awal tahun ini apabila beliau mempertikai kewujuan Hang.

Katanya, kenyataan seperti itu mendorong minat orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut dan memungkinkan kajian lebih mendalam diadakan ke atas perkara itu.

Khoo ketika menyampaikan rumusannya di forum itu berkata, perkara sejarah seperti itu masih memerlukan bukti empiris untuk disahkan sebagai satu perkara sejarah.

"Kalau ada bukti, biar kita semua bincang. Bila dah diuji dan diterima oleh ahli sejarah, barulah kita boleh guna bahan itu," katanya.

Tambahnya lagi, perkara itu juga harus diuji oleh golongan yang dianggap mempunyai kepakaran dalam bidang sejarah.

"Kalau agak-agak saja tidak boleh," tegasnya.

Turut berucap dalam forum berkenaan ialah naib canselor Kolej Universiti Islam Melaka, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusoff Hashim dan juga pengkaji sastera bandingan Dr Lalita Sinha.