 |
- Zulaikha Zulkifli
- 7:39PM Sep 30 2012
|
|
dikemaskini
Seramai 10 orang aktivis hadir untuk pertemuan bagi sambutan Hari
Leher-V di satu kawasan taman Kuala Lumpur City Center (KLCC) hari ini
namun ia tidak berlangsung lama apabila pihak keselamatan muncul petang
ini.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 5.45 petang itu, dua orang pengawal keselamatan Suria KLCC mendekati petugas
Malaysiakini dan wakil
AFP yang membuat liputan pertemuan tersebut dan melarang daripada membuat rakaman video.

Pengawal
keselamatan itu kemudiannya membawa dua daripada 10 orang wakil aktivis
berkenaan dengan membonceng motosikal ke satu lokasi, didakwa untuk
menemui penyelia mereka.
Seorang daripadanya, Adam Sharizman, 19,
kemudiannya kembali menyertai aktivis lain selang 15 minit kemudian
bersama seorang rakannya yang enggan dinamakan.
Petugas media menemubual aktivis berkenaan dengan pengawasan pengawal tersebut.
Dalam
pertemuan singkat bersama penyelia keselamatan tersebut, Adam berkata
beliau diberitahu bahawa petugas media perlu memohon permit untuk
membuat rakaman video.
"Untuk merakam video kamu perlu memohon permit. Itu pihak pengurusan beritahu masa kami jumpa dia," katanya ketika ditemui
Malaysiakini.
Menurutnya
lagi, beliau juga diberitahu bahawa taman KLCC merupakan harta
persendirian dibawah pengurusan KLCC dan bukan tempat awam.

Jelas Adam
(paling kanan),
beliau menyertai pertemuan hari ini untuk memberi kesedaran bahawa
tindakan diskriminasi terhadap individu gay adalah perkara yang tidak
wajar.
"Saya buat (perhimpunan) ini kerana betapa teruknya
diskriminasi ini (dalam) masyarakat. Saya ada beberapa kawan yang
sebahagian daripada LGBT. Kita sepatutnya menunjukkan sokongan pada
mereka.
"Dan saya buat perjumpaan hari ini lebih kepada suka-suka, bukan untuk menentang kerajaan," katanya lagi.
Seorang
lagi peserta lagi, Amri Abu, 28, berkata beliau hadir pada petang ini
bagi membantah stereotaip ke atas golongan gay – seperti memakai baju
leher-V.
Menurut Amri, pendedahan garis panduan tersebut seperti
membenarkan masyarakat dan kanak-kanak untuk membuli golongan LGBT,
katanya.

"Semua
orang adalah sama. Garis panduan itu seperti memberi kebenaran untuk
masyarakat dan kanak-kanak menggalakkan buli. Saya tak rasa ia wajar,"
katanya.
Kumpulan berkenaan bersurai pada kira-kira jam 6.15 petang.
Portal antarabangsa pergerakan LGBT
Gay Star News
pada 17 September melaporkan, Hari Leher-V kebangsaan diadakan pada 1
Oktober sebagai reaksi ke atas dakwaan bahawa kerajaan menyokong garis
panduan untuk mengenalpasti golongan itu.
Timbalan Menteri
Pelajaran Datuk Dr Puad Zarkashi dalam kenyataan pada hari Khamis lalu
berpendapat penganjuran Hari Leher-V itu sebagai cubaan mempersendakan
kerajaan.
Pada 13 September lalu, akhbar
Sin Chew Daily
melaporkan menteri pelajaran menyokong "garis panduan" kepada ibu bapa
untuk mengenalpasti "simptom" gay dan lesbian pada anak mereka bagi
mengambil langkah membetulkan keadaan.
Antara simptom itu,
menurut harian berbahasa Cina itu, mempunyai badan sasa, suka
menunjukkan aset di badan, memakai baju dengan leher-V.