Rakyat Malaysia yang dilahirkan pada tahun 1961 berpeluang mengunjungi Zoo Negara secara percuma mulai hari ini hingga 31 Disember tahun ini sempena ulang tahun Zoo Negara yang ke-50.
Presiden Persatuan Zoologi Malaysia Datuk Ismail Hutson mengumumkan tawaran tersebut pada majlis makan malam ulang tahun Zoo Negara di Kuala Lumpur, malam semalam.
Penaung persatuan itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis itu.
"Sejak program itu dilaksanakan, lebih 100,000 pelajar sekolah dan universiti telah menyertai semua program yang dijalankan di Zoo Negara," katanya.
Katanya peruntukan kerajaan lebih RM8 juta yang diterima tahun lepas berjaya membangunkan penempatan baru bagi haiwan di Zoo Negara seperti gajah, cimpanzi dan babun serta pembesaran kompleks beruang.
Selain itu, beliau berkata Zoo Negara yang berkeluasan lebih 48 hektar itu telah menerima kira-kira satu juta pengunjung setiap tahun dengan 300,000 daripada pengunjungnya adalah kanak-kanak.
Pada majlis itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail telah menyerahkan sumbangan wang sebanyak RM250,000 bagi projek penambahbaikan Zoo Negara.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan